Hasrat calon Bebas cabar Hazland tidak kesampaian

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Hazland Abang Hipni ketika diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N.05 Demak Laut.

KUCHING, 28 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Hazland Abang Hipni menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Demak Laut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Kemenangan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Lim Hock Meng kira-kira 10.25 pagi di Dewan Toh Puan Hajah Masniah selepas tempoh penamaan calon ditutup pada 10 pagi.

Menurut Lim, hanya satu kertas penamaan calon diterima sepanjang tempoh berkenaan, iaitu daripada Hazland yang mengemukakan kertas pencalonannya pada 9.02 pagi.

Beliau berkata, pihaknya telah menyemak kertas penamaan calon berkenaan dan berpuas hati bahawa dokumen yang dikemukakan memenuhi syarat ditetapkan.

Keadaan itu menyaksikan tiada calon lain tampil mengemukakan kertas penamaan calon bagi mencabar penyandang kerusi berkenaan sehingga tempoh penamaan calon berakhir.

Perkembangan itu menarik perhatian memandangkan seorang calon Bebas, Yunus Rabuan, 48, sebelum ini menyatakan hasrat untuk mencabar Hazland di kerusi berkenaan.

Yunus, anak jati Kampung Sejingkat, sebelum ini menyatakan hasrat untuk membawa suara penduduk dengan memberi tumpuan kepada isu infrastruktur kampung, kebajikan, peluang ekonomi dan pembangunan belia.

Bagaimanapun, Yunus tidak kelihatan di pusat penamaan calon hari ini, sekali gus membolehkan Hazland menang tanpa bertanding.

Hazland yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak mempunyai rekod panjang mewakili Demak Laut apabila pertama kali memenangi kerusi itu pada PRN 2011.

Beliau kemudian mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN 2016 dan 2021, masing-masing ketika mewakili Barisan Nasional (BN), sebelum meneruskan khidmatnya bersama GPS pada pilihan raya negeri lalu.

Pada PRN 2021, Hazland memperoleh 7,636 undi dengan majoriti 6,399 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang Yatika Jelani (PSB), Khairul Ahmat (Bebas) dan Mohamad Zen Peli (Amanah).

Kemenangan tanpa bertanding kali ini menyaksikan Hazland mengekalkan kerusi Demak Laut untuk penggal keempat berturut-turut sejak 2011.

Oleh Shahrul Qaizat