BELAGA, 28 Nov: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.65 Belaga, Datuk Liwan Lagang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), bakal berdepan cabaran calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Richard Saging, dalam pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Liwan mendapat nombor calon satu, manakala Richard memperoleh nombor dua selepas proses pengundian nombor calon.
Bagi proses pencalonan, Liwan dicadangkan oleh Henry Tey Ching Hock dengan Ekot Ejui bertindak sebagai penyokong, manakala pencalonan Richard dicadangkan oleh Uvat Sageng dan disokong oleh Richard Mathew.
Liwan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga sejak 2006, mempunyai pengalaman hampir dua dekad sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Beliau turut memegang jawatan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) sejak 4 Januari 2022.
Rekod pilihan rayanya di Belaga menunjukkan beliau memperoleh kemenangan dengan majoriti 227 undi pada 2006, meningkat kepada 2,928 undi pada 2011 dan 3,686 undi pada 2016, sebelum mencatat majoriti 2,245 undi pada 2021.
Liwan bertanding di bawah Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang merupakan parti komponen GPS, manakala Richard mewakili PBDS dalam saingan kali ini.
Pertandingan kali ini menyaksikan Liwan berusaha mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2006, manakala Richard tampil sebagai pencabar bagi merebut mandat pengundi di kawasan Belaga.
Oleh Carolyne Utih



