Proses penamaan calon PRN Sarawak ke-13 berjalan aman, lancar

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 28 Nov: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 yang berlangsung hari ini di seluruh negeri berjalan dalam keadaan aman, lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ismail berkata, proses berkenaan melibatkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak.

“Secara keseluruhannya, proses penamaan calon di kesemua 82 pusat penamaan calon telah berlangsung dalam keadaan aman, lancar dan terkawal. Tiada sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, seramai 4,899 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak ditugaskan bagi mengawal aspek keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Daripada jumlah itu, seramai 481 pegawai kanan polis dan 4,418 pegawai rendah polis ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran pergerakan calon, penyokong serta orang awam.

Selain itu, polis turut menempatkan lima unit Pasukan Simpanan Persekutuan (PORU), 47 pasukan Light Strike Force (LSF) dan 75 pasukan Cantas Jabatan Siasatan Jenayah sebagai pasukan sokongan serta tindakan pantas.

Menurutnya, penugasan dan kesiapsiagaan berkenaan bertujuan memastikan sebarang situasi yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dapat ditangani dengan cepat, berkesan dan terkawal.

Memasuki tempoh berkempen selama 14 hari, Saifullizan menggesa semua calon, parti politik dan penyokong supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya yang berkuat kuasa.

“Saya ingin menggesa agar semua calon, parti politik dan penyokong masing-masing sentiasa mematuhi akta, undang-undang serta peraturan pilihan raya yang berkuat kuasa, termasuk segala arahan dan ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan sebarang bentuk provokasi atau tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta mencetuskan ketegangan antara penyokong parti politik.

“PDRM akan bertindak secara profesional, adil dan berkecuali serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Dalam masa sama, polis turut memberi perhatian serius terhadap penyalahgunaan platform media sosial, khususnya penyebaran berita palsu, fitnah, hasutan serta isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat, perpaduan serta keselamatan negara.

Pengundian awal PRN Sarawak ke-13 dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini, manakala hari pengundian sebenar ditetapkan pada 12 Disember.

PDRM Kontinjen Sarawak akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan keselamatan bagi memastikan kelancaran setiap fasa pilihan raya, termasuk proses pengundian awal dan hari pengundian sebenar.

Oleh Shahrul Qaizat