KUCHING, 27 Nov: Seorang lelaki berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 40 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah melakukan kesalahan seksual terhadap tiga anak kandung perempuannya yang masing-masing berusia 19, 15 dan 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan pihak polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan yang dilaporkan pada 23 November 2026.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan itu telah berulang kali melakukan kesalahan berkenaan terhadap anak-anaknya sendiri dalam tempoh beberapa tahun.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Kuching hari ini atas tiga pertuduhan, iaitu satu pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 40 tahun dan 15 sebatan, dengan semua hukuman diperintahkan berjalan secara berturutan.
Alexson berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan ahli keluarga sendiri.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keselamatan kanak-kanak serta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang kes penderaan seksual.




