Saingan tiga penjuru dijangka berlaku di DUN Bukit Sari dan Ba’kelalan

Facebook
WhatsApp
Zahid Matseruddin

LAWAS, 27 November: Saingan tiga penjuru dijangka berlaku bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lawas, iaitu N.81 Ba’kelalan dan N.82 Bukit Sari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Setakat 5.00 petang tadi, penyandang kedua-dua kerusi berkenaan dijangka berdepan cabaran daripada tiga calon Bebas dan seorang calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Sari, dijangka dicabar dua calon Bebas, iaitu Mohamad bin Ibrahim dan bekas anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Sarawak, Zahid Matseruddin.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Ba’kelalan, Baru Bian, dijangka berdepan saingan daripada calon PBDS, Peter Asut, dan calon Bebas, Racha Balang.

Bagaimanapun, senarai muktamad calon bagi kedua-dua kerusi berkenaan hanya akan diketahui selepas proses penamaan calon yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2026.

Pusat penamaan calon bagi DUN Bukit Sari akan diadakan di Bangunan Pejabat Pentadbiran Bersepadu (IAC), Lawas, manakala bagi DUN Ba’kelalan, proses itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Lawas.

Oleh Adeng Edrus