Ripin Lamat dicabar Sulang Limu di DUN Lambir

Facebook
WhatsApp
POSTER janaan AI

LAMBIR, 27 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.72 Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat, bakal berdepan cabaran daripada calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Sulang Limu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Ripin yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Sulang muncul sebagai pencabar daripada PBDS dalam saingan kali ini.

Ripin mempunyai pengalaman luas dalam arena politik negeri apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN Lambir sejak memenanginya pada PRN 2011, sebelum mengekalkan mandat rakyat pada PRN 2016 dan 2021.

Beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dilihat mempunyai kelebihan dari segi pengalaman sebagai wakil rakyat serta rekod perkhidmatan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, kemunculan Sulang sebagai calon PBDS bakal memberikan satu lagi pilihan kepada pengundi Lambir, sekali gus menjadikan persaingan kerusi itu antara yang perlu diberi perhatian pada PRN kali ini.

Berdasarkan statistik pengundi, DUN Lambir mempunyai seramai 40,433 pengundi, terdiri daripada 22,280 pengundi berusia 18 hingga 39 tahun, 15,881 berusia 40 hingga 69 tahun dan 2,272 berusia 70 tahun ke atas.

Jumlah pengundi muda yang besar turut menjadi antara kelompok penting yang bakal menentukan hala tuju persaingan kedua-dua calon.

Persoalannya, mampukah Ripin terus mempertahankan mandat yang disandang sejak 2011 atau Sulang berjaya mencipta kejutan dengan merampas kerusi Lambir daripada GPS?

Oleh Adum Liu