LAWAS, 27 November: Berpuluh-puluh tahun penduduk tiga kampung di Lawas terpaksa memilih sama ada menaiki sampan atau memandu hampir 20 kilometer untuk ke bandar yang terletak hanya di seberang sungai.
Kini, perjalanan ke pasar atau hospital yang dahulunya mengambil masa kira-kira 30 minit dengan kereta memerlukan anggaran lima minit sahaja susulan pembukaan Jambatan Bandar Lawas pada 6 November lepas.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pengalaman penduduk Kampung Luagan, Kampung Gaya dan Kampung Ladang Baharu itu memperlihatkan betapa pentingnya pembangunan infrastruktur dalam memenuhi keperluan harian serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Penduduk Kampung Luagan, Azwan Rizal, 53, berkata sebelum ini, perkhidmatan perahu tambang menjadi pilihan penduduk untuk menjimatkan masa perjalanan ke bandar, meskipun sekadar untuk membeli sayur di pasar.
“Sekarang, kita cuma menggunakan (Jambatan Bandar Lawas) di situ sahaja, lima minit sudah sampai,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Azwan yang bekerja sendiri berkata jambatan itu turut memendekkan tempoh perjalanan ke Sindumin, Sabah, daripada kira-kira 40 minit kepada 20 minit, selain menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan dari Brunei yang menggunakan laluan berkenaan.
“Dalam tempoh satu minggu ini, kita boleh tengok berpuluh-puluh kereta dari Brunei sudah melintasi jambatan ini,” katanya.
Perubahan corak pergerakan pengguna jalan raya itu turut mencetuskan harapan dalam kalangan peniaga kecil untuk meningkatkan pendapatan dengan memanfaatkan potensi pasaran rentas sempadan.
Peniaga runcit dari Kampung Gaya, Pidah Endim, 48, berkata kawasan kampungnya yang dahulu jarang dilalui kenderaan dari Brunei kini menjadi antara laluan pengguna jalan raya dari negara itu ke Sabah.
“Sebagai peniaga, kami berharap mereka (pelancong dari Brunei) akan singgah membeli barang dan secara tidak langsung dapat menambah pendapatan kami,” katanya.
Selain prospek ekonomi, akses yang lebih pantas kepada perkhidmatan kesihatan merupakan antara perubahan paling bermakna kepada penduduk setempat seperti yang dikongsikan peniaga runcit dari Kampung Ladang Baharu Sitiamah Awang Damit, 49.
“Jambatan ini bukan sahaja memudahkan penduduk untuk ke pasar, malah mereka juga boleh sampai ke Hospital Lawas antara lima hingga 10 minit sahaja, inilah antara manfaat paling besar pembukaan jambatan ini,” katanya.
Jambatan Bandar Lawas sepanjang kira-kira 642 meter yang dibina dengan kos RM149 juta mula dibuka kepada pengguna pada 6 November, dengan reka bentuk ikoniknya merupakan pilihan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri.

Projek itu ialah sebahagian daripada pelan pembangunan lebih menyeluruh oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) untuk menjadikan Lawas sebagai pintu masuk utara Sarawak yang menghubungkan negeri itu dengan Sabah, Brunei dan Kalimantan, menerusi Pelan Kawasan Tindakan Trusan, Sundar dan Merapok.
Pembangunan itu turut disokong oleh projek infrastruktur strategik lain, termasuk Lebuhraya Pesisir Utara (NCH), Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR), pembinaan Lapangan Terbang Lawas baharu di Sundar serta penaiktarafan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Kesemua projek berkenaan dijangka memperkukuh jaringan perhubungan rentas sempadan, merancakkan sektor pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Pada PRN Sarawak ke-13, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lawas, iaitu Ba’Kelalan dan Bukit Sari masing-masing bakal menyaksikan pertembungan antara penyandang tiga penggal Baru Bian dengan pesara Pita Asut @ Peter Asut, manakala Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bakal mempertahankan kerusi Bukit Sari yang disandangnya sejak 2006.- Bernama





