MUKAH: Sejumlah RM284,000 peruntukan telah diagihkan kepada beberapa buah organisasi di sini semalam.
Geran MRP (Projek Mini Luar Bandar) bagi Kawasan ADUN Balingian ini telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Penerima-penerimanya adalah terdiri pada 25 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), tiga Jawatankuasa Pengurusan (JP) Masjid, 15 JP Surau, lapan kelab, dua JK Tetap Aktiviti Keagamaan (JKTA), dua NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan satu persatuan.
Pegawai Daerah Mukah, Shafrie Saili menerima bagi pihak kelab, persatuan, NGO dan JKTA, manakala Pemanca Mohamad@Mohd Jali Kawi mewakili JKKK, dan Ustaz Awang Yusshamry Awang Yusof dari Jabatan Agama Islam Sarawak Mukah untuk JP Masjid dan Surau.
Penyerahan ‘Out-Right’ geran itu telah diadakan di Ruangan Pameran, Lobi Aras Bawah Menara Pehin Setia Raja Mukah.
Ketika ditemui selepas itu, Abdul Yakub menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) untuk kesejahteraan bersama.
“Terutamanya ‘Penjarakan Sosial’ ia harus dipatuhi walaupun sekarang ini dah diperbolehkan lebih daripada seorang dalam sebuah kereta dan berhati-berhati di mana jua berada,” ujarnya.
Ujarnya, kepatuhan itu penting termasuk disiplin diri kerana kesihatan amatlah penting bukan kelonggaran atau sebagainya yang boleh menyebabkan kemudaratan.
Sementara itu, Shafrie mengakui bahawa majlis ringkas yang dihadiri oleh kurang daripada sepuluh orang termasuk wartawan itu adalah penyamapaian MRP yang pertama diadakan di sana semenjak PKP diperkuatkuasakan pada 18 Mac tahun ini.
Antara yang hadir, selain penerima, ialah Penolong Pegawai Daerah Mukah, Pleadzman Ahip dan Pengawai Tadbir Nolin Gendang.