KUALA LUMPUR, 28 Oktober: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang untuk memperkenalkan konsep ‘cottage hospital’ dengan menaik taraf klinik kesihatan terpilih di kawasan pedalaman bagi menyediakan kemudahan rawatan, sekali gus memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu melibatkan penambahbaikan kemudahan tertentu termasuk wad pemerhatian bagi klinik kesihatan di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada hospital.
Beliau berkata antara fasiliti yang dikenal pasti setakat ini ialah Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman, Pahang; Klinik Kesihatan Telupid dan Klinik Kesihatan Nabawan di Sabah serta Klinik Kesihatan Sungai Asap di Sarawak.
“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada rawatan pesakit dalam (inpatient) yang bersesuaian, mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat, terutamanya di pedalaman, dan mengurangkan perjalanan yang jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen KKM untuk membangunkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih bersepadu, responsif terhadap keperluan setempat dan mapan selain memastikan akses yang saksama tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly berkata konsep berkenaan turut diamalkan beberapa negara termasuk United Kingdom yang menaik taraf klinik kesihatan terpilih di kawasan luar bandar dengan pelbagai kemudahan, termasuk wad pemerhatian.
Beliau berkata usaha lain ialah penstrukturan semula fungsi dan peranan fasiliti kesihatan primer, termasuk klinik desa, klinik komuniti dan klinik di Pusat Transformasi Bandar (UTC), serta menilai keperluan menaik taraf, menggabungkan atau membangunkan fasiliti baharu berdasarkan kepadatan penduduk serta keperluan kesihatan setempat.
Sementara itu, beliau berkata KKM akan memperluas pelaksanaan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) daripada 14 kepada 16 bidang perkhidmatan pada 2027, susulan peningkatan peruntukan daripada RM144 juta tahun ini kepada RM200 juta tahun depan.
Beliau berkata dua bidang baharu yang akan diperkenalkan ialah ujian kultur Mycobacterium tuberculosis bagi penyakit tibi dan ujian genetik pranatal.
Dzulkefly berkata pelaksanaan HSOP yang memanfaatkan kapasiti sektor swasta berjaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit secara purata antara dua hingga 10 minggu, selain membantu menangani kesesakan di hospital kerajaan.
“Sebagai contoh, tempoh menunggu bagi pembedahan pintasan jantung (CABG) berjaya dikurangkan sebanyak 18 minggu, daripada 50 kepada 32 minggu manakala rawatan radioterapi bagi kanser prostat berkurangan daripada 21 kepada lapan minggu.
“Tempoh menunggu bagi pemeriksaan tomografi berkomputer (CT) jantung pula berkurangan sebanyak 11 minggu daripada 24 kepada 13 minggu,” katanya.
Dzulkefly berkata jumlah pesakit yang menerima manfaat daripada HSOP turut meningkat 22.2 peratus kepada 51,159 pesakit menerusi 14 bidang perkhidmatan berbanding 41,858 pesakit bagi 10 bidang perkhidmatan sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM masih menunggu hasil siasatan penuh pihak berkuasa berhubung isu Perkhidmatan Doktor Udara sebelum perkara berkenaan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Beliau berkata penjelasan lanjut akan diberikan di Dewan Rakyat selepas proses itu selesai bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah telus, tuntas dan menyeluruh.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.- Bernama





