ENGKILILI, 27 November: Keperluan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan kondusif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili kini dipertingkatkan menerusi penyiapan projek infrastruktur pendidikan bernilai RM22.53 juta.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan enam bilik darjah baharu, sebuah bangunan asrama berkapasiti 200 orang murid serta beberapa kemudahan sokongan lain bagi memenuhi peningkatan jumlah pelajar di sekolah berkenaan.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), penyerahan rasmi projek siap itu dilaksanakan oleh kontraktor, Welfield Services Sdn. Bhd. kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Majlis penyerahan tersebut diwakili oleh Jurutera Awam, JPNS, Ir. Cyril Chai Tze Chin, yang menerima projek berkenaan bagi pihak KPM.
Penyiapan projek itu merupakan perkembangan penting dalam usaha menangani isu kesesakan bilik darjah dan kemudahan asrama, selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, teratur dan selamat kepada warga sekolah.
Dalam ucapannya, Ir. Cyril Chai merakamkan penghargaan kepada JKR Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu, pihak kontraktor, barisan juruperunding serta pengurusan SMK Engkilili atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga projek berkenaan berjaya disiapkan.
Beliau turut mengingatkan agar semua kemudahan baharu itu digunakan secara optimum dan berhemah supaya manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka masa panjang oleh generasi pelajar akan datang.
Projek berkenaan bukan sekadar menambah kapasiti fizikal sekolah, malah menjadi antara usaha penting dalam memastikan keperluan pendidikan luar bandar terus diberikan perhatian sewajarnya.
KPM dan JPNS kekal komited memperkukuh infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar serta pedalaman Sarawak bagi memastikan anak-anak mendapat akses kepada kemudahan dan peluang pendidikan yang saksama serta berkualiti setanding dengan kawasan bandar.
Dengan kemudahan baharu bernilai RM22.53 juta itu, SMK Engkilili kini mempunyai prasarana lebih baik untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan potensi serta kecemerlangan akademik murid di kawasan Lubok Antu.
Oleh Adi Safarman




