KEHEBATAN vokal semata-mata belum mencukupi buat penyanyi tempatan menembusi pasaran muzik antarabangsa sebaliknya mereka perlu mempunyai identiti tersendiri, penguasaan ilmu serta disiplin yang tinggi.
Menurut Profesor Adjung Tersohor Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Syafinaz Selamat, Malaysia tidak pernah ketandusan penyanyi berbakat, namun kehebatan vokal perlu diimbangi dengan daya tahan dan kematangan artistik untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kelebihan Malaysia adalah masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya. Jadi, kita mempunyai pendedahan kepada pelbagai bahasa dan tradisi muzik. Kita bukan hanya mahu dikenali, tetapi mahu dihormati kerana kualiti dan juga identiti seni kita,” katanya.
Syafinaz berkata demikian ketika menjadi tetamu secara dalam talian menerusi program Fokus 15 bertajuk Suara Malaysia, Gemanya ke Seluruh Dunia yang disiarkan Bernama TV.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Ingin Bersamamu itu berkata khazanah muzik tempatan yang merangkumi muzik Melayu seperti zapin, inang dan joget, selain muzik masyarakat Cina, India, Orang Asli serta etnik Sabah dan Sarawak, boleh digabungkan dengan muzik pop kontemporari, orkestra, jaz dan elektronik bagi melahirkan identiti muzik tersendiri.
“Muzik tradisi kita ini bukan sekadar untuk disimpan atau dipersembahkan ketika sambutan kebudayaan sahaja. Kita perlu hidupkan, kita perlu kembangkan, kita perlu beri nafas baharu,” katanya.
Mengimbas pengalamannya membawa kumpulan Permata Seni Koir menyertai pertandingan di Jerman, Syafinaz berkata persembahan lagu tradisional Malaysia berjaya memukau penonton di negara itu kerana keunikan muzik yang jarang didengari mereka.
“Kalau kita lihat K-pop (muzik popular Korea), mereka bukan hanya menyanyi dalam bahasa Inggeris, tetapi turut memasukkan elemen bahasa Korea dalam muzik mereka. Itu yang menjadikan kita sangat berminat dengan muzik mereka kerana berbeza.
“Dan… kalau kita lihat anak-anak Malaysia sendiri kalau menyanyi macam mereka boleh bertutur dalam bahasa Korea, kan?” katanya.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, pendidikan vokal penting bagi membantu penyanyi menguasai teknik nyanyian yang betul serta menyampaikan lagu dengan baik, bukan sekadar mengejar nada tinggi.
Beliau pada masa sama turut menekankan kepentingan memiliki “vokal intelektual” serta berpendapat seseorang penyanyi perlu mampu berfikir sebagai seorang pemuzik dan bukan sekadar mengikut arahan pengarah muzik.
“Bakat itu adalah sesuatu yang membuka pintu tetapi ilmu dan disiplin itu mampu menentukan sejauh mana seseorang itu boleh bertahan di dalam industri muzik ini,” katanya.
Syafinaz berkata antara cabaran terbesar dalam usaha membawa bakat tempatan ke peringkat global ialah ekosistem industri muzik negara yang memerlukan sokongan pembangunan kerjaya jangka panjang serta pengurusan artis profesional yang mampu menjalinkan jaringan antarabangsa.
Beliau berkata dalam era pendigitalan, penggiat industri juga perlu memahami aspek pemasaran digital, hak cipta, pengurusan imej, strategi penjenamaan artis serta pengurusan perniagaan muzik.
Selain itu, mutu komposisi, susunan muzik dan rakaman perlu diberikan perhatian bagi memastikan karya tempatan setanding dengan piawaian antarabangsa.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada di pasaran tempatan sahaja. Jadi, kita kena berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menggalakkan artis tempatan agar lebih berani bereksperimentasi dan memanfaatkan platform media sosial bagi meneroka peluang kolaborasi bersama-sama komposer, penerbit serta pemuzik antarabangsa tanpa bergantung sepenuhnya pada syarikat rakaman. – Bernama





