PADAWAN, 27 November: Seorang lelaki berusia 45 tahun maut selepas kenderaan Toyota Hilux dipandunya merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam longkang di Batu 16, Jalan Kuching-Serian, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, kemalangan berlaku kira-kira 10.52 pagi ketika kenderaan pikap itu dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Serian.
Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan dan terjunam ke dalam longkang.
Mangsa, 45, seorang petani yang bekerja sendiri dari Batu 29, Jalan Kuching-Serian.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira 11.25 pagi oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Siburan.
Barry berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menjalankan kawalan bagi memastikan kelancaran aliran trafik.




