KUCHING, 27 November: Tiga pusat media utama bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dibuka secara rasmi mulai hari ini bagi memudahkan petugas media membuat liputan.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua pusat media yang dibuka dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu beroperasi hingga 12 Disember dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari.
Tiga pusat media berkenaan masing-masing terletak di Hotel Grand Continental di Kuching, Hotel Kingwood di Sibu dan Hotel Mega di Miri.
Setiap pusat media mampu menampung hingga 60 orang pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi, perkhidmatan percetakan serta makanan dan minuman bagi menyokong petugas media melaksanakan tugas liputan sepanjang tempoh PRN itu.
“Sehubungan dengan itu, para pengamal media diundang untuk menggunakan kemudahan yang disediakan serta mendapatkan maklumat yang tepat di pusat media tersebut,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan kaunter aduan di setiap pusat media utama bagi memantau dan menyelaras sebarang isu membabitkan liputan Internet, gangguan telekomunikasi serta kandungan dalam talian seperti 3R, penipuan (scam) atau penyamaran.
Selain tiga pusat media utama berkenaan, pengamal media yang membuat liputan di lokaliti lain turut dipelawa memanfaatkan kemudahan dan Internet di 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sekitar Sarawak yang diaktifkan sebagai pusat media sokongan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, dengan penamaan calon Sabtu ini, manakala pengundian awal pada 8 Disember.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. – Bernama



