SEMATAN: Seramai 10 orang Jurulatih dan Penolong Jurulatih Kem Belia Sarawak telah dianugerahkan sijil pensijilan antarabangsa ‘International Diploma in Sports and Recreation (Level 4).’
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau amat berbangga terhadap kesemua 10 orang Jurulatih dan Penolong Jurulatih Kem Belia Sarawak ini yang telah bertungkus lumus dan berjaya memperolehi sijil berkenaan.
“Saya percaya akreditasi ini mampu meningkatkan kemahiran agar melahirkan Jurulatih dan Penolong Jurulatih yang lebih profesional dalam melaksanakan tugas,” katanya ketika berucap pada Program Belia Kasih Komuniti@Tanjung Datu 2021 dan Sijil Pengiktirafan Antarabangsa Jurulatih dan Penolong Jurulatih Kem Belia Sarawak 2021 di Palm Beach Resort Sematan, semalam.
Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan Program Pensijilan dan Pengiktirafan Antarabangsa untuk Jurulatih dan Penolong Jurulatih pada Oktober dan November 2021 (empat minggu).
“Program Pensijilan dan Pengiktirafan kerjasama Kementerian dengan Syarikat TGGC PLT dan merupakan sebuah pusat bertauliah yang menawarkan program OTHM Qualification dan berpangkalan di United Kingdom.
“Pengiktirafan mengambil kira kelayakan akademik dan pengalaman melalui proses holistik RPEL (Recognition of Prior Experential Learning),” ujarnya.
Majlis berbentuk akreditasi antarabangsa ini julung kali diadakan untuk Kem Belia Sarawak oleh pihak Kementerian.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Belia Kasih Komuniti@Tanjung Datu, objektif utama program ini adalah untuk menyemai semangat kesukarelawanan dan sikap keprihatinan dalam kalangan belia Sarawak, di samping mendekati permasalahan sebenar dalam kalangan belia yang memerlukan bantuan semasa pandemik Covid-19 ini.
Penyerahan Sumbangan Pandemik Covid-19 kepada 70 penerima dari kawasan Tanjung Datu ini dengan mengambil kira segala pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan yang telah digariskan bersesuaian dengan situasi semasa.
Sumbangan Pandemik Covid-19 kepada 70 orang penerima di kawasan Tanjung Datu yang disediakan adalah berbentuk peralatan keperluan pandemik seperti pelbagai makanan asas khususnya untuk belia.
Belia ini terdiri daripada 13 buah kampung di kawasan Tanjung Datu Sematan.
Oleh NUR AIN OTSMAN