KUCHING, 26 November: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen memperuntukkan RM150,000 kepada SK Green Road dan SK Jalan Ong Tiang Swee bagi menaik taraf kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta menggantikan perabot sekolah yang telah usang.
Yii berkata, peruntukan itu diserahkan ketika beliau mengadakan lawatan ke kedua-dua sekolah berkenaan semalam, dengan setiap sekolah menerima RM75,000 bagi menambah baik kemudahan pengajaran dan infrastruktur mengikut keperluan masing-masing.
Menurutnya, dana berkenaan akan digunakan terutamanya untuk membeli papan pintar baharu bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih interaktif dan berkesan, seiring dengan kepentingan teknologi digital yang semakin meningkat dalam bidang pendidikan.
“Kemudahan ICT yang lengkap amat penting dalam pendidikan moden kerana ia membantu meningkatkan kecekapan pengajaran serta membolehkan guru dan murid memanfaatkan teknologi dengan lebih baik dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain menaik taraf peralatan ICT, SK Green Road akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan itu untuk menggantikan meja guru di kesemua 24 bilik darjah.
Sementara itu, SK Jalan Ong Tiang Swee akan membeli meja dan kerusi murid baharu selain menambah bekalan perabot sedia ada yang tidak mencukupi.
Yii berharap peruntukan tersebut dapat membantu kedua-dua sekolah menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif kepada guru serta murid, di samping meningkatkan kualiti kemudahan pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat.




