Dr Simon sedia galas amanah, terus berkhidmat untuk rakyat Tebedu

Facebook
WhatsApp
DR Simon Sinang Bada selepas menerima watikah bagi calon GPS pada PRN13 di Ibu Pejabat PBB Petra Jaya. Foto: Dr Simon Sinang N21 Tebedu

TEBEDU, 26 November: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada menyifatkan kepercayaan sekali lagi diberikan kepadanya sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN N.21 Tebedu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) sebagai satu penghormatan dan amanah besar.

Beliau berkata, penerimaan watikah pencalonan itu disambut dengan penuh rasa syukur kepada Tuhan serta rendah hati, selain menyedari tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi kepentingan masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kepercayaan yang diberikan kepimpinan GPS itu akan menjadi dorongan untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, keikhlasan dan kesungguhan.

“Kepercayaan yang diberikan sekali lagi ini merupakan satu penghormatan dan amanah yang amat besar. 

“Saya sedar bahawa amanah ini hadir bersama tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh komitmen, keikhlasan, kesungguhan dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan GPS atas kepercayaan yang diberikan untuk terus mewakili parti itu di kawasan DUN Tebedu.

Penghargaan sama turut ditujukan kepada keluarga, rakan seperjuangan serta seluruh masyarakat Tebedu yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Dr Simon berkata, beliau menerima amanah tersebut dengan penuh rasa rendah hati dan berharap agar diberikan kekuatan serta kebijaksanaan untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Semoga Tuhan terus memberikan kebijaksanaan, kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi masyarakat dan kawasan Tebedu,” katanya.

Oleh Adi Safarman