ENGKILILI, 26 November: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Serembai, Engkilili, dinasihatkan supaya berwaspada susulan kejadian hakisan tanah serius yang menyebabkan sebahagian struktur jalan konkrit tergantung dan berisiko runtuh.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu, kejadian tanah susur itu dikesan di jalan utama menuju ke Rumah Panjang Serembai selepas Bilik Gerakan 999 APM Lubok Antu menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.
Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati hakisan tanah sepanjang kira-kira 20 meter dengan kedalaman 40 meter telah menyebabkan struktur jalan konkrit kehilangan sokongan tanah di bahagian bawah sehingga membentuk rongga besar.
Keadaan itu mengakibatkan sebahagian permukaan jalan seolah-olah tergantung dan berpotensi runtuh sekiranya berlaku pergerakan tanah atau hakisan berterusan.
Susulan itu, anggota APM yang menjalankan pemeriksaan keselamatan telah memasang pita keselamatan sebagai tanda amaran bagi mengingatkan pengguna jalan raya supaya menjauhi kawasan terjejas.
APM turut menasihatkan orang ramai agar tidak melalui atau menghampiri lokasi kejadian serta sentiasa meningkatkan kewaspadaan, terutama ketika musim hujan yang boleh memburukkan keadaan tanah.
Dalam pada itu, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dan keadaan di lokasi setakat ini adalah terkawal.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi APM Daerah Lubok Antu di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman




