LUBOK ANTU, 26 November: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi keutamaan Huang Huat Khai apabila tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga mendiang Martin Melintang, 74, di Rumah Gendang Jabuk, sebagai tanda sokongan ketika keluarga berkenaan berdepan kehilangan insan tersayang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ethan Huang Qi Sheng, anak kepada Huang Huat Khai, yang hadir bagi mewakili bapanya menyampaikan bantuan serta hasrat murni beliau kepada keluarga mendiang.
Bantuan berupa keperluan harian dan wang tunai itu diharap dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga dalam mengharungi detik sukar berikutan pemergian mendiang.
Menurut Huang, amalan saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain amat penting, khususnya ketika ada keluarga dalam masyarakat berdepan kehilangan insan tersayang.
“Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, saya berharap ia dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang sedang melalui saat sukar ini,” katanya.
Beliau berkata, kehilangan ahli keluarga pastinya meninggalkan kesan mendalam, justeru sokongan dan keprihatinan masyarakat amat bermakna dalam membantu keluarga yang terkesan.
Huang turut menjelaskan bahawa pihaknya akan terus berusaha menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, semangat kebersamaan, sikap prihatin dan budaya saling membantu perlu terus dipupuk kerana kekuatan sesebuah komuniti terletak pada kesediaan anggotanya untuk bersama-sama ketika susah mahupun senang.
Sumbangan berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan untuk mendekati masyarakat serta menyantuni keluarga yang memerlukan sokongan, terutama ketika berdepan ujian kehidupan.
Oleh Adi Safarman



