SERIAN, 26 November: Seramai 51 warga Indonesia yang ditempatkan di Depot Imigresen Semuja dipindahkan ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu hari ini.
Pemindahan yang bermula pada 8.00 pagi itu dilaksanakan melalui laluan darat dengan kawalan keselamatan serta pematuhan prosedur operasi yang ditetapkan.
Daripada jumlah keseluruhan, seramai 35 individu merupakan lelaki dewasa, manakala 13 perempuan dewasa dan tiga kanak-kanak.

Kesemua mereka diiringi pegawai pengiring serta anggota kawalan Depot Imigresen Semuja bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan sepanjang proses pemindahan.
Penyerahan kesemua 51 warga Indonesia itu disempurnakan kepada Pegawai Aparatur Sipil Negara dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Ade Adiansyah.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sarawak berkata, pelaksanaan operasi itu mencerminkan kerjasama baik antara pihak imigresen Malaysia dengan perwakilan Republik Indonesia dalam memastikan urusan pemindahan warga asing ke negara asal dilaksanakan secara teratur, sistematik dan terkawal.
JIM Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan dan pengurusan tahanan imigresen dengan mengutamakan keselamatan, integriti serta pematuhan undang-undang yang berkuat kuasa.





