KUCHING, 26 November: Sebanyak 351 notis ketidakakuran dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak hasil pemeriksaan terhadap 734 kenderaan sepanjang Ops Gempur Pan Borneo dari 19 November hingga semalam.
Operasi yang dilaksanakan Unit Operasi JPJ Kuching di sepanjang laluan Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching hingga Lawas itu melibatkan rondaan dan pemeriksaan statik bagi memastikan pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan perdagangan, mematuhi undang-undang serta peraturan pengangkutan jalan raya.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk membawa muatan berlebihan dan secara berbahaya, melanggar syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah.
Pemeriksaan turut mendapati kesalahan melibatkan pengubahsuaian struktur dan peralatan kenderaan serta pelbagai kesalahan teknikal lain.

JPJ Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan operasi itu turut disertai Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, Ketua Bahagian Penguatkuasa, Fifi Suhesty Asmuni dan Ketua Seksyen Operasi, Teresa Baru.
Kehadiran pihak pengurusan bertujuan memantau pelaksanaan operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap tindakan di lapangan dilaksanakan secara tegas, berkesan dan berintegriti.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak mengingatkan pemilik, pengusaha dan pemandu kenderaan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, tidak membawa muatan berlebihan atau berbahaya serta mematuhi syarat permit yang ditetapkan.
Mereka juga perlu memastikan LKM dan perlindungan insurans kenderaan sentiasa sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
JPJ Sarawak menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Langkah itu bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya selain melindungi infrastruktur jalan raya daripada kerosakan akibat ketidakpatuhan.





