AMERIKA SYARIKAT: JUMLAH kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini melepasi 250 juta, berikutan lebih 300,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan melebihi 46.5 juta kes.
Ini diikuti India dengan lebih 34.3 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.8 juta kes.
United Kingdom kini catat lebih 9 juta kes, manakala Rusia dan Turki turut memasuki kumpulan negara yang catat lebih 8 juta kes.
Perancis pula mencatatkan lebih 7 juta kes.
Argentina, Sepanyol dan Colombia melebihi 5 juta.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.2 juta kes.
Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 2.8 juta, Malaysia lebih 2.5 juta kes dan Thailand dengan 1.9 juta kes.
Manakala Singapura merekodkan lebih 220,000 kes.
Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 5.05 juta.
Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat yang kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 755,000 kes.
Ini diikuti Brazil dengan lebih 609,000 kes, India lebih 461,000 kes dan Mexico lebih 289,000 kes.
Sementara Rusia kini catat lebih 243,000 kematian.
United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.
Negara yang merekodkan angka korban melebihi 96,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol melebihi 87,000 kes.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 143,000 kes korban.
Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 44,000 diikuti Malaysia dengan 29,000 kes.
Manakala Thailand dengan lebih 19,000 angka korban.-Bernama