Tidak bertanding juga demokrasi, Abdul Karim jawab dakwaan Chong

Facebook
WhatsApp

PETRA JAYA, 26 November: Keputusan sesebuah parti politik untuk tidak bertanding dalam pilihan raya tidak bermakna demokrasi dikorbankan, sebaliknya merupakan hak parti berkenaan, kata calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, amalan demokrasi tidak seharusnya diukur berdasarkan penyertaan parti dalam pilihan raya semata-mata kerana keputusan untuk bertanding atau sebaliknya juga sebahagian daripada proses demokrasi.

“Sama ada kita mahu bertanding ataupun tidak bertanding, itu adalah demokrasi. Tidak bertanding pun demokrasi juga, bertanding pun demokrasi juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menyifatkan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai tindakan mengorbankan demokrasi demi sokongan politik di peringkat Persekutuan.

Chong sebelum ini turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk kepada ancaman Gabungan Parti Sarawak (GPS) susulan keputusan PKR untuk tidak menyertai pilihan raya negeri kali ini.

Abdul Karim ditemui selepas majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi PRN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya rakyat berpuas hati dengan kerajaan semasa dan sesebuah parti tidak berhasrat mengemukakan calon, keputusan itu juga perlu dihormati.

Menurutnya, Sarawak tidak seharusnya berdepan keadaan apabila parti yang menjadi rakan kerjasama di peringkat nasional saling bersaing di negeri ini, sebelum kembali bekerjasama di peringkat Persekutuan.

Beliau menyambut baik keputusan beberapa parti nasional, termasuk PKR, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang memilih untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata GPS bersedia menerima sebarang saingan di kawasan yang ditandingi, termasuk kemungkinan berdepan calon daripada Parti Wawasan Sarawak, yang dahulunya dikenali sebagai Parti Tegar.

Katanya, jentera parti sudah bersedia menghadapi pilihan raya dan pihaknya menerima apa juga kemungkinan, sama ada berlaku pertandingan atau menang tanpa bertanding.

“Kalau ada yang bertanding, kita terima. Kalau tidak ada, kita terima juga. Kita tahu kekuatan dan jentera kita sudah bersedia,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud