BERSATU Sarawak tidak sertai PRN13, fokus persiapan PRU-16

Facebook
WhatsApp
JAZIRI Alkaf Abdillah Suffian.

KUCHING, 25 November: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) Sarawak yang bakal berlangsung, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi parti serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penelitian mendalam terhadap keutamaan semasa dan hala tuju jangka panjang parti.

Menurutnya, BERSATU Sarawak kini mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha memperkukuh gerak kerja di peringkat Parlimen, memantapkan struktur organisasi serta mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi PRU-16.

“Keputusan ini dicapai setelah penelitian mendalam dibuat terhadap keutamaan semasa serta hala tuju jangka panjang parti,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Beliau yang juga merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, meskipun tidak menyertai PRN13, komitmen BERSATU Sarawak terhadap kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini tetap tidak berubah.

Malah, parti itu akan terus konsisten mendekati masyarakat, memperjuangkan nasib rakyat serta berusaha mengangkat nama Sarawak ke peringkat antarabangsa.

“Komitmen BERSATU Sarawak sentiasa teguh demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Sarawak, serta akan terus konsisten mendekati masyarakat dan memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jaziri Alkaf turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli dan penyokong parti atas kesetiaan serta sokongan yang diberikan selama ini.

Beliau menyeru semua anggota agar terus bersatu hati dan memperkukuh parti bagi memastikan agenda serta perancangan gerak kerja yang ditetapkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Keputusan BERSATU Sarawak itu sekali gus menyaksikan parti berkenaan memilih untuk tidak bertanding dalam PRN13, dengan keutamaan kini diberikan kepada pengukuhan kekuatan dalaman dan persediaan menghadapi PRU-16.

Oleh Adi Safarman