PAKAN: Kejadian tanah runtuh telah berlaku di Jalan Pakan, Simpang Genting Kopi hingga mengakibatkan laluan jalan raya tersebut terputus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, PPgB Nicholas Belulin berkata, tanah runtuh setinggi lebih kurang satu meter menutupi keseluruhan jalan raya dan lebar lebih kurang 10 meter.
“Jarak tanah runtuh tersebut adalah lebih kurang 90 meter daripada Simpang Tubai Buah.
“Walau bagaimanapun, pengguna jalan raya yang hendak ke Pekan Pakan masih boleh menggunakan Jalan Pakan yang baharu,” katanya ketika dihubungi pemberita, pagi semalam.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung tanah runtuh sekitar 9.03 malam kelmarin (Isnin).
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba memantau kawasan persekitaran tanah runtuh tersebut bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
“Rumah Jantan yang terletak di atas bukit berhampiran kejadian tersebut di dapati selamat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam perjalanan balik ke BBP Bintangor, pasukan bomba telah menjumpai sebatang tiang telekomunikasi rebah di atas jalan raya berhampiran Simpang Semukau.
“Pasukan bomba kemudiannya memindahkan tiang tersebut ke tepi jalan raya,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek