KEPUTUSAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak pada 24 November 2026 untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menandakan suatu titik perubahan penting dalam perjalanan politik parti tersebut.
Setelah hampir tiga dekad bertapak di Sarawak dan mengharungi lima pilihan raya negeri sejak 2001, PKR akhirnya memilih untuk mengosongkan gelanggang persaingan demokratik atas pertimbangan kepentingan politik yang lebih besar di peringkat nasional.
Secara rasmi, keputusan tersebut bertujuan memelihara kestabilan Kerajaan Perpaduan, menghormati hubungan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta menjamin kesinambungan pembangunan Sarawak.
Namun, di sebalik bahasa diplomasi politik tersebut, terserlah suatu dilema fundamental antara kelangsungan kuasa di peringkat Persekutuan dengan kelangsungan perjuangan parti di peringkat negeri.
Persoalannya, apakah keputusan ini merupakan manifestasi kebijaksanaan strategik sebuah parti yang memahami realiti politik semasa, atau suatu pengunduran yang akhirnya menghakis masa depan politiknya sendiri di Sarawak?
Pengorbanan politik untuk PRU16
Dalam kerangka politik strategik, keputusan PKR boleh ditafsirkan sebagai usaha memelihara kepentingan jangka panjang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kepimpinan PKR tentunya menyedari bahawa kedudukan GPS dalam politik nasional semakin signifikan, khususnya dalam landskap politik Malaysia yang tidak lagi memperlihatkan dominasi mutlak sesebuah gabungan.
Pengalaman PRU15 membuktikan bahawa GPS, dengan penguasaan 23 kerusi Parlimen, mempunyai kedudukan strategik dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya PRU16 sekali lagi menghasilkan Parlimen tergantung, sokongan GPS berpotensi menjadi antara faktor penentu dalam pembentukan kerajaan dan pemilihan Perdana Menteri.
Dalam konteks ini, PKR mungkin berpendapat bahawa mempertahankan hubungan baik dengan GPS lebih menguntungkan daripada mempertaruhkan kestabilan hubungan tersebut demi beberapa kerusi DUN yang belum tentu dapat dimenangi.
Keputusan tidak bertanding merupakan suatu bentuk pelaburan kepercayaan politik yang diharap memberikan pulangan strategik pada masa hadapan.
Tiada jaminan politik
Namun, politik bukanlah sebuah institusi yang menjamin pulangan berdasarkan pengorbanan semata-mata. Pengorbanan PKR hari ini tidak secara automatik menjamin kesetiaan GPS selepas PRU16.
Setakat ini, belum terdapat sebarang perjanjian timbal balik yang diumumkan secara terbuka bagi menjamin sokongan GPS terhadap kepimpinan PKR selepas pilihan raya umum akan datang.
GPS mempunyai autonomi politik, kepentingan wilayah dan pertimbangan strategiknya sendiri. Gabungan tersebut tentunya akan menilai konfigurasi kuasa selepas PRU16 berdasarkan kepentingan Sarawak, termasuk pelaksanaan MA63, autonomi ekonomi, peruntukan pembangunan dan kestabilan pentadbiran negara.
Justeru, PKR sedang melakukan pengorbanan politik yang nyata untuk memperoleh pulangan strategik yang masih bersifat kemungkinan. Dalam bahasa ekonomi politik, PKR telah membayar kos politik pada hari ini, sedangkan dividennya belum tentu dapat dituai pada hari esok.
Antara pilihan strategik dengan keterbatasan politik
Keputusan PKR juga perlu dianalisis berdasarkan prestasi pilihan rayanya sepanjang 2026. Pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, disusuli kekalahan di kesemua 10 kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka, memperlihatkan cabaran serius terhadap keupayaan mobilisasi pengundi dan daya saing elektoral parti tersebut.

Sekiranya PKR meneruskan hasrat bertanding di Sarawak, sedangkan GPS dijangka terus mendominasi pilihan raya negeri, kemungkinan mengalami satu lagi kekalahan menyeluruh tidak boleh diketepikan.
Dalam PRN Sarawak 2021, PKR gagal memenangi kesemua 28 kerusi yang ditandinginya. Sebaliknya, GPS memperoleh kemenangan besar dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi DUN.
Kekuatan jentera, kepimpinan, sumber politik dan sentimen autonomi wilayah memberikan GPS kelebihan struktural yang sukar disaingi.
Sekiranya kekalahan menyeluruh berulang, implikasinya tidak hanya terbatas kepada PKR Sarawak, malah boleh menjejaskan persepsi terhadap kekuatan PKR di seluruh negara.
Lebih membimbangkan, rentetan kekalahan tersebut berpotensi membentuk persepsi bahawa parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan semakin kehilangan daya tarikan elektoral di peringkat negeri.
Pembaziran
Daripada sudut pengurusan sumber, penyertaan dalam pilihan raya tanpa prospek kemenangan yang munasabah mungkin dianggap sebagai pembaziran kewangan, tenaga, masa dan kapasiti organisasi.
Dalam keadaan sedemikian, keputusan tidak bertanding boleh dianggap sebagai pilihan paling pragmatik daripada beberapa pilihan politik yang sama-sama mempunyai risiko.
Dengan kata lain, pengunduran PKR bukan semata-mata lahir daripada kebijaksanaan diplomasi politik, tetapi mungkin turut mencerminkan keterbatasan pilihan yang dihadapi parti tersebut.
Naratif menghormati kerjasama dengan GPS mempunyai rasional politiknya, namun tidak seharusnya menenggelamkan persoalan mengenai kelemahan elektoral PKR sendiri.
Harga yang perlu dibayar oleh akar umbi
Pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2024 sebenarnya membuka suatu ruang dalam landskap pembangkang Sarawak.
Namun, ruang politik tersebut tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan sokongan terhadap PKR, khususnya apabila tiga penyandang ADUN PSB menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu komponen GPS.
Perkembangan terbaharu melibatkan pengunduran Wong Soon Koh daripada PDP turut memperlihatkan bahawa dinamika politik tempatan masih belum mencapai keseimbangan yang muktamad.
Dalam keadaan ini, penyertaan PKR secara terhad di beberapa kawasan terpilih sebenarnya mempunyai rasional tersendiri, bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, tetapi untuk memelihara kesinambungan organisasi, membangunkan pelapis kepimpinan, mengukur sokongan rakyat dan mempertahankan identiti politik parti.
Kesan akar umbi
Pilihan raya merupakan medan pembentukan budaya politik, pendidikan demokrasi dan pengukuhan hubungan antara parti dengan masyarakat. Parti politik tidak hanya berkembang melalui kemenangan, tetapi juga melalui pengalaman persaingan, kekalahan dan pembelajaran daripada kelemahan sendiri.
Oleh itu, keputusan PKR tentunya berpotensi mengecewakan sebahagian akar umbinya di Sarawak yang telah mengorbankan masa, tenaga dan kesetiaan politik sejak sekian lama.
Mereka berasa bahawa kepentingan perjuangan politik di peringkat negeri telah dikorbankan demi kelangsungan kuasa kepimpinan di peringkat nasional.
Risiko jangka panjangnya ialah kemerosotan semangat perjuangan, penghijrahan ahli, kehilangan keterlihatan politik, kelemahan perekrutan generasi baharu dan kesukaran menggerakkan semula jentera menjelang pilihan raya berikutnya.
Dalam politik, kehilangan satu pilihan raya tidak semestinya mematikan sesebuah parti. Namun, kehilangan hubungan dengan akar umbi dan kesinambungan perjuangan boleh menyebabkan sesebuah parti mengalami kemerosotan secara perlahan-lahan sehingga akhirnya kehilangan kerelevanan politik.
DAP dan paradoks hubungan PH–GPS
Keputusan DAP untuk terus bertanding pula memperlihatkan suatu paradoks dalam hubungan Pakatan Harapan (PH) dengan GPS. Ketika PKR memilih pendekatan diplomasi dan pengunduran, DAP mempertahankan haknya untuk bersaing dalam ruang demokrasi Sarawak.
Fenomena ini boleh dijelaskan melalui konsep asymmetric political cooperation atau kerjasama politik asimetri, iaitu hubungan antara parti yang berbeza mengikut peringkat pemerintahan. Sesebuah parti boleh menjadi rakan pentadbiran di peringkat Persekutuan, tetapi menjadi pesaing politik di peringkat negeri.
Bagaimanapun, penyertaan DAP berpotensi menimbulkan ketegangan dengan GPS, khususnya apabila GPS telah menetapkan pendiriannya untuk bertanding di kesemua 82 kerusi tanpa kerjasama pilihan raya dengan parti di luar gabungannya.
Tahap ketegangan tersebut turut bergantung pada pendekatan kempen DAP. Persaingan berasaskan dasar, integriti pentadbiran, kesejahteraan rakyat dan semak imbang demokratik lebih mudah diurus berbanding kempen yang bersifat konfrontasi, serangan peribadi atau mempertikaikan legitimasi kepimpinan negeri.
Namun, terlalu simplistik untuk menganggap GPS akan sentiasa menyertai Kerajaan Persekutuan tanpa mengambil kira siapa yang memerintah. GPS mempunyai kepentingan strategik terhadap Putrajaya, sebagaimana Putrajaya mempunyai kepentingan strategik terhadap GPS.
Hubungan tersebut berasaskan kesalingbergantungan politik, bukannya kesetiaan tanpa syarat. Justeru, keputusan DAP terus bertanding dan sifat persaingannya dengan GPS boleh menjadi antara pertimbangan yang mempengaruhi mesra atau dingin hubungan PH–GPS selepas PRU16.
Kebijaksanaan politik dan kelangsungan perjuangan
Akhirnya, keputusan PKR tidak bertanding di Sarawak merupakan langkah taktikal yang munasabah dalam jangka pendek, tetapi belum tentu merupakan strategi yang menguntungkan dalam jangka panjang.
Kebijaksanaan politik bukan sekadar kemampuan mengelakkan kekalahan atau mempertahankan kuasa, tetapi juga keupayaan memastikan sesebuah parti terus mempunyai identiti, prinsip, akar sosial dan masa depan perjuangan.
Kestabilan kerajaan penting, namun kestabilan demokrasi turut memerlukan persaingan politik yang sihat, pilihan rakyat dan institusi semak imbang yang berkesan.
PKR perlu memastikan pengundurannya daripada pilihan raya tidak menjadi pengunduran daripada kehidupan politik masyarakat Sarawak. Pelaksanaan MA63 pula hendaklah kekal sebagai tanggungjawab kenegaraan, bukannya sekadar mata wang dalam rundingan kelangsungan kuasa.
Sejarah politik sering memperlihatkan bahawa sesebuah parti boleh memenangi percaturan kuasa di pusat, tetapi kehilangan wilayah perjuangannya sendiri.
Cabaran terbesar PKR kini bukan sekadar bagaimana memperoleh sokongan GPS selepas PRU16, tetapi bagaimana memastikan ketika pulangan politik nasional itu dicari, PKR masih mempunyai akar, jiwa dan masa depan politik di bumi Sarawak.
Dalam politik, berundur boleh menjadi suatu kebijaksanaan strategik. Namun, pengunduran tanpa jaminan pulangan dan tanpa strategi membina semula kekuatan sendiri boleh berubah daripada pengorbanan politik kepada kehilangan politik yang lebih besar.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.





