Laluan baharu mendaki Gunung Kinabalu dari Kiau dilancar 16 Januari tahun depan

Facebook
WhatsApp
Gunung Kinabalu. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 24 November: Fasa pertama laluan baharu mendaki Gunung Kinabalu dari Kampung Kiau, Kadamaian menuju ke Marai-Parai akan dilancarkan pada 16 Januari tahun depan, sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata laluan baharu itu penting bagi pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu dari sebelah Kadamaian, dan diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau berkata pembangunan itu juga sebahagian Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035, selain menghargai inisiatif Taman-Taman Sabah (TTS) dalam membangunkan potensi pelancongan di kawasan berkenaan termasuk pembangunan Puncak Sayap, Minitinduk Gorge, Gunung Nungkok serta rancangan pembangunan di Melangkap.

“Saya yakin pembangunan Gunung Kinabalu sebelah Kadamaian merupakan pencetus perubahan kepada aktiviti ekonomi rakyat Sabah di Kadamaian,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan kunjungan kerja ke Ibu Pejabat Taman-Taman Sabah di sini hari ini.

Pada kunjungan yang turut disertai wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) dan Sekretariat Tahun Melawat Sabah 2027 itu, Ewon menerima taklimat terperinci daripada Pengarah TTS Datuk Dr Maklarin Lakim berhubung pelaksanaan serta pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata pembangunan sektor pelancongan itu turut disokong menerusi pelaksanaan infrastruktur termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang sedang dan akan dilaksanakan di Kadamaian.

“Saya akan memainkan peranan sebagai ADUN Kadamaian untuk melengkapkan usaha-usaha TTS ini khususnya berkaitan dengan keperluan peruntukan pembangunan,” katanya.

Menurut taklimat TTS, laluan eksklusif pendakian Kiau–Marai-Parai bagi fasa pertama melibatkan jarak sejauh tujuh kilometer, bermula dari Kampung Kiau Nuluh pada ketinggian 977 meter hingga ke Marai-Parai pada ketinggian 1,652 meter dari aras laut.

Berdasarkan ekspedisi saintifik Marai-Parai yang dilaksanakan pada 7 hingga 20 Oktober 2024, sebanyak 25 lokasi dikenal pasti sebagai tarikan utama sepanjang laluan pendakian, termasuk Minitinduk Gorge yang merupakan pintu masuk lama ke Gunung Kinabalu menerusi laluan jejak pendakian Sir Hugh Low pada 1851.

Laluan berkenaan turut mempunyai keistimewaan dari segi kepelbagaian flora endemik, landskap dataran tinggi serta kewujudan spesies tumbuhan periuk kera seperti Nepenthes rajah, Nepenthes lowii dan Nepenthes edwardsiana. 

Mengikut pelan keseluruhan, laluan pendakian dari Kampung Kiau Nuluh melalui Marai-Parai dan West Gurkha Hut hingga ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu, Low’s Peak, melibatkan jarak sejauh 15.28 kilometer, manakala keseluruhan perjalanan hingga ke Pintu Timpohon adalah kira-kira 24 kilometer.

Taklimat itu turut mengetengahkan potensi pembangunan pelancongan Kadamaian sebagai hab ekopelancongan luar bandar berasaskan komuniti khususnya di Kiau, Melangkap, Sayap dan Tambatuon.

Selain Marai-Parai, antara tarikan lain yang berpotensi dibangunkan ialah Puncak Sayap pada ketinggian 3,050 meter, Gunung Nungkok, air terjun, sungai dan hutan asli serta keunikan budaya dan adat masyarakat setempat.

Daripada keseluruhan 75,370 hektar keluasan Taman Kinabalu, sebanyak 25,700 hektar atau 34.1 peratus terletak dalam daerah Kota Belud, manakala 42.1 peratus di Ranau dan 23.8 peratus di Kota Marudu. – Bernama

Monyet liar berjaya ditangkap

MARUDI, 24 November: Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam minta bantuan menangkap seekor monyet