PKR belum beri kata putus berhubung pendirian pada PRN Sarawak – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Pesat Membangun 2026 (SIAC2026) hari ini.

KUCHING, 24 November: Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum memberikan kata putus berhubung pendiriannya terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, susulan pertemuan antara Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam.

Premier Sarawak berkata, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana santai sambil menikmati minuman, namun tiada sebarang kepastian dicapai berhubung perkara berkaitan pilihan raya.

Menurutnya, Saifuddin Nasution hanya mendapatkan maklum balas mengenai pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung PRN akan datang.

“Semalam Datuk Nasution ada berjumpa dengan saya sambil kita minum air Milo. Tapi tidak ada kepastianlah.

“Memang beliau hanya menerima maklum balas daripada pendirian kita mengenai pilihan raya dan saya serahkan kepada beliaulah dan parti beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Pesat Membangun 2026 (SIAC2026) di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan PKR bertanding di Sarawak, Abang Johari merujuk kepada kenyataan yang pernah disuarakan sebelum ini, namun menjelaskan bahawa perkara yang turut dibangkitkan adalah berkaitan kepastian kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Perkembangan itu turut menyusul selepas Saifuddin Nasution mengeluarkan kenyataan media hari ini yang mengesahkan pertemuannya dengan Abang Johari membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan isu keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Saifuddin Nasution dipetik sebagai berkata, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan, manakala semangat saling menghormati, persefahaman dan kepercayaan perlu menjadi asas hubungan Persekutuan-Sarawak.

Dalam konteks politik negara, Menteri Dalam Negeri itu turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen dan sokongan Sarawak kepada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara.

Beliau berkata, kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pihak penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi dan kesejahteraan rakyat.

Untuk rekod, PKR sebelum ini memaklumkan bahawa parti itu akan mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding pada PRN Sarawak ke-13 pada 25 November selepas memuktamadkan rundingan kerusi bersama DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, PKR bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun gagal memenangi sebarang kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh dua kerusi menerusi DAP di Padungan dan Pending.

Menjelang PRN ke-13, isu kerjasama antara PKR dan GPS turut menjadi perhatian susulan perbezaan pendirian kedua-dua pihak di peringkat negeri meskipun mereka bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Pada 2 November lalu, Ketua Penerangan PBB, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata GPS tidak berminat menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan PKR dan akan bertanding secara bersendirian di kesemua 82 kerusi DUN.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Roland Engan pada 23 November menegaskan parti itu bebas bertanding pada PRN Sarawak ke-13 memandangkan tiada kerjasama politik antara PKR dan GPS di peringkat negeri. 

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama kedua-dua pihak di peringkat Persekutuan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hak PKR untuk bertanding di Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat