Mohd Chee Kadir tidak pertahan kerusi DUN Kabong, beri laluan kepada generasi muda

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir.

KABONG, 24 November: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN N.40 Kabong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 (PRN13), sekali gus memberi laluan kepada generasi muda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan di kawasan itu.

Keputusan tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan media hari ini selepas beliau membuat pertimbangan mendalam berhubung kepentingan kesinambungan kepimpinan serta masa depan pembangunan kawasan Kabong.

Menurut beliau, sudah tiba masanya ruang dan peluang diberikan kepada barisan kepimpinan generasi muda untuk tampil memikul tanggungjawab, meneruskan perjuangan serta aspirasi pembangunan yang telah diusahakan bersama masyarakat selama ini.

Beliau yang telah berkhidmat selama dua penggal atau hampir sedekad sebagai wakil rakyat turut menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat di kawasan DUN Kabong sebagai satu penghormatan besar yang akan sentiasa dikenang.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Kabong atas sokongan, dokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Chee Kadir turut menyampaikan penghargaan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk mewakili rakyat Kabong selama dua penggal.

Penghargaan sama turut ditujukan kepada barisan kepimpinan dan ahli parti, ketua masyarakat dan ketua kaum, pemimpin akar umbi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama yang telah memberikan kerjasama sepanjang beliau menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Mengulas perancangannya selepas ini, beliau berkata akan memberikan lebih tumpuan kepada bidang profesional, khususnya kerjaya dalam bidang perundangan.

Bagaimanapun, keputusan untuk tidak bertanding semula bukan bermakna hubungan beliau dengan masyarakat Kabong akan terputus, sebaliknya ikatan dan penghargaan terhadap kawasan itu akan terus kekal.

Dalam pada itu, beliau menggesa seluruh rakyat dan pengundi DUN Kabong supaya terus memelihara perpaduan, keharmonian serta kestabilan yang menjadi kekuatan masyarakat setempat.

Beliau turut mengajak pengundi memberikan sokongan kepada calon yang bakal ditentukan oleh kepimpinan GPS serta terus mengekalkan kepercayaan terhadap kepimpinan gabungan itu di bawah pimpinan Premier Sarawak.

“Jawatan dan tanggungjawab mungkin silih berganti, namun semangat untuk berbakti kepada masyarakat akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan Dato Mohd Chee Kadir sebagai wakil rakyat Kabong selepas dua penggal berkhidmat, namun beliau menegaskan komitmen dan hubungan dengan masyarakat setempat akan terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman