APM kenal pasti kawasan berisiko banjir di Dalat dan Oya

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Pertahanan Awam Daerah Dalat, Leftenan Muhammad Azhar Ali ketika ditemui media semasa sidang media bersiap siaga menghadapi monsun timur laut (MTL) 2026/2027 bertempat di Pusat Kawalan Operasi Daerah Dalat, hari ini. Foto Adibfahmy.

DALAT, 24 November: Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini dan daerah kecil Oya diminta melakukan persediaan menghadapi fenomena Monsun Timur Laut berikutan beberapa lokasi dikenal pasti berisiko mengalami banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dalat, Leftenan Muhammad Azhar Ali berkata, antara kawasan yang sering mengalami Banjir Temenung di daerah Dalat ialah Kampung Kelid, Kampung Narub, Kampung Sua, kawasan Nanga Baoh, dan kawasan Ulu Baoh.

“Banjir termenung adalah banjir yang mengambil tempoh yang panjang untuk surut semula kerana air daripada kawasan yang tinggi akan mengalir semula ke kawasan yang rendah,” katanya.

Bagi kawasan yang berisiko mengalami banjir kilat di daerah Dalat pula ialah Kampung Sungai Ud, Kampung Brunei, Kampung Seberang, Kampung Baru, Kampung Hilir dan Taman Ceria Dalat.

LEFTENAN Muhammad Azhar Ali ketika menyampaikan cenderamata kepada para media yang hadir. Foto Adibfahmy.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan lain yang berpotensi mengalami banjir biasa di Dalat pula termasuk Kampung Medong Hulu, Kampung Medong Hilir dan Kampung Kekan.

Beliau berkata demikian semasa sidang media berlangsung dalam usaha bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 bertempat di Pusat Kawalan Operasi Daerah Dalat, hari ini.

Sementara itu, di daerah kecil Oya, beberapa kawasan turut dikenal pasti berpotensi mengalami banjir kilat, antaranya Kampung Kuala Hilir, Kampung Senau, Kampung Boom, Kampung Bakong, Kampung Terus dan Kampung Teh.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk supaya membuat persediaan awal dengan menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil kelahiran, pasport, geran tanah dan kenderaan serta rekod perubatan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar peka mengenai lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat serta mengenal pasti laluan alternatif sekiranya jalan utama ditenggelami air.

KEKUATAN anggota APM Dalat bersama aset dalam bersiap siaga menghadapi fenomena Monsun Timur Laut. Foto Adibfahmy.

“Masyarakat juga perlu memberi perhatian khusus kepada golongan rentan termasuk warga emas, bayi, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan mereka dapat diselamatkan terlebih dahulu sekiranya berlaku banjir.

“Kita juga perlu memantau perkembangan cuaca dan amaran banjir melalui laman sesawang rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” jelasnya lagi.

Mengulas tindakan ketika banjir, beliau menegaskan keselamatan nyawa perlu diutamakan berbanding usaha menyelamatkan harta benda, termasuk berpindah segera ke kawasan lebih tinggi atau PPS apabila diarahkan pihak berkuasa.

Katanya, penduduk juga perlu memutuskan bekalan elektrik dan air sekiranya keadaan mengizinkan, selain mengelakkan perbuatan meredah banjir atau memandu melalui jalan yang ditenggelami air kerana keadaan laluan mungkin tidak dapat dikenal pasti.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan makanan dan minuman bagi mengelakkan risiko penyakit sepanjang tempoh banjir serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MetMalaysia.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah Dalat menerusi talian 24 jam 084-867 357 atau menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Oleh Adibfahmy