KUCHING, 24 November: Selepas lima kali mengalami kekalahan dalam pilihan raya sejak 2001, Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), John Brian Anthony, sekali lagi mencuba nasib dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.60 Kakus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
John Brian yang pernah menggunakan tiket Bebas, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), kini tampil sebagai calon PBDS dalam percubaan keenamnya untuk memperoleh mandat rakyat.
Rekod pilihan rayanya menunjukkan beliau belum pernah memenangi mana-mana kerusi yang ditandinginya, malah dua daripada lima kekalahan terdahulu menyaksikan beliau kehilangan wang deposit.
Pada PRN 2001, beliau bertanding sebagai calon Bebas di DUN N.52 Kemena dan memperoleh 716 undi sebelum kehilangan deposit.
Lima tahun kemudian, beliau menggunakan tiket SNAP di kerusi DUN N.60 Kemena dan memperoleh 3,178 undi, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Pada PRN 2011, beliau beralih kepada PKR untuk bertanding di DUN N.42 Meluan dengan memperoleh 2,973 undi, sebelum mewakili DAP di kerusi Parlimen P.217 Bintulu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 2013 dengan meraih 19,025 undi.
Percubaan terbaharunya sebelum ini ialah pada PRN 2021 apabila beliau sekali lagi menggunakan tiket DAP di DUN N.69 Kemena, namun hanya memperoleh 399 undi atau kira-kira empat peratus undi sah sehingga kehilangan deposit.
Kini, selepas rekod lima kekalahan itu, John Brian memilih PBDS sebagai platform politik baharu untuk meneruskan perjuangannya dalam arena politik Sarawak.
PBDS hari ini mengumumkan seramai 26 calon untuk bertanding pada PRN Sarawak Ke-13 menerusi majlis pengumuman calon dan penyerahan surat watikah di Hotel Hilton, di sini.
Berdasarkan senarai calon yang diedarkan, parti itu akan bertanding di Opar, Tasik Biru, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup, Bukit Semuja, Balai Ringin, Krian, Kabong, Ngemah, Machan, Dudong, Kemena, Samalaju, Bukit Begunan, Kalaka, Tamin, Kakus, Baleh, Telang Usan, Mulu, Ba’kelalan, Serembu dan Lambir.
Kerusi DUN N.61 Pelagus yang pada asalnya disenaraikan digugurkan dan digantikan dengan DUN N.61, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 26 kerusi.
Dalam senarai berkenaan, calon bagi N.61 Pelagus, Moses Ripai, digugurkan dan digantikan dengan Peri Lusong di N.80 Batu Danau.
Dalam kenyataan rasminya, John Brian berkata pemilihan calon dibuat berdasarkan keupayaan kepimpinan, integriti, komitmen terhadap masyarakat serta kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata PBDS akan bertanding secara bersendirian tanpa terikat dengan mana-mana gabungan prapilihan raya, namun terbuka mengadakan perbincangan dengan parti lain bagi mengurangkan pertandingan banyak penjuru.
PBDS turut menyasarkan untuk memperoleh mandat rakyat dan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan Sarawak seterusnya, termasuk bersedia mengadakan rundingan dengan parti yang mempunyai matlamat dasar bersama selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Kerusi DUN N.60 Kakus kini disandang Datuk John Sikie Tayai daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mempertahankannya pada PRN 2021 dengan memperoleh 5,307 undi dan majoriti 1,897 undi.
Beliau menewaskan pencabar terdekat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Peter Tuan, yang memperoleh 3,410 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Pada PRN 2016, John Sikie turut mempertahankan kerusi itu dengan memperoleh 7,054 undi dan majoriti 5,211 undi.
Bagaimanapun, majoritinya menyusut kepada 1,897 undi pada PRN 2021, iaitu pengurangan sebanyak 3,314 undi berbanding pilihan raya sebelumnya.
Untuk rekod, John Sikie mempunyai sejarah panjang mewakili kawasan Kakus sejak PRN 1991, ketika kerusi itu menggunakan kod N.44, sebelum berubah kepada N.47, N.53 dan seterusnya N.60.
Beliau pernah bertanding menggunakan tiket PBDS sebelum mewakili BN dan kemudian GPS menerusi PRS.
Oleh Shahrul Qaizat





