SIBU, 24 November: Priscilla Lau dan Yii Ming Ching dinamakan sebagai calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan dan Bukit Assek masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Lau yang juga Setiausaha Agung PBK berkata, keputusannya kembali aktif dalam politik didorong keprihatinan terhadap pelbagai masalah penduduk, khususnya berkaitan kemudahan awam, isu parkir dan kelemahan penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Pengerusi PBK Bahagian Sibu itu, beliau menerima lebih 2,000 mesej daripada orang ramai dalam sehari, dengan jumlah tertinggi direkodkan sebanyak 2,002 mesej.
Katanya, aduan yang diterima merangkumi masalah penyelenggaraan kawasan kediaman, pemotongan rumput dan kebimbangan penduduk terhadap kehadiran ular di sekitar rumah.
“Saya bukan mengatakan diri saya seorang adiwira, tetapi jika saya tidak membantu mereka, siapa lagi yang akan membantu?
“Atas sebab itu, saya merasakan perlu menawarkan diri sebagai suara kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, Yii yang juga Setiausaha PBK Bahagian Sibu berkata, kebersihan persekitaran menjadi antara perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kesejahteraan penduduk.
Beliau berkata, kawasan sekitar Jalan Hua Kiew kini berdepan masalah lambakan sampah sarap yang menjejaskan kebersihan dan keselesaan persekitaran.
“Bagi saya, aspek kebajikan rakyat yang paling utama ialah tempat tinggal yang bersih dan bebas daripada bau busuk,” katanya.
Mengulas mengenai manifesto, kedua-dua calon itu berkata mereka mahu menjadi suara lantang penduduk Pelawan dan Bukit Assek supaya isu serta keperluan masyarakat dapat dibawa ke Dewan Undangan Negeri.
Kedua-duanya telah menerima watikah kebenaran daripada Presiden PBK, Voon Lee Shan, bagi menggunakan simbol parti pada PRN13.
Yii bakal membuat penampilan pertama sebagai calon pilihan raya, manakala Lau mempunyai pengalaman bertanding sejak 2016 apabila mewakili Parti Reformasi Sarawak (STAR) di kerusi DUN Pelawan.
Lau kemudian bertanding di Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 menggunakan tiket Parti Damai Sarawak (PEACE), sebelum bertanding di DUN Bukit Assek pada PRN Sarawak 2021 atas tiket PBK.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 2022, beliau sekali lagi bertanding di Parlimen Lanang, kali ini menggunakan tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Oleh Tarani Lanting

Jalan sekitar Dewan Suarah Sarikei ditutup enam jam pada 28 November
SARIKEI, 24 November: Beberapa laluan di sekitar Dewan Suarah Sarikei akan ditutup sementara selama enam jam pada Sabtu ini sempena


