SIBU, 24 November: Rekod pencapaian sepanjang lima tahun berkhidmat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan bakal menjadi tumpuan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, pilihan raya kali ini memberi peluang kepada pengundi menilai sendiri prestasi serta usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh mandat lalu, termasuk projek yang tidak disenaraikan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.
“Saya bersama pasukan tidak berjaya mencapai 100 peratus daripada semua yang dijanjikan, namun kami telah mencapai kemajuan ketara dan sebenarnya melaksanakan lebih banyak perkara daripada apa yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui media selepas pemeriksaan akhir projek naik taraf tandas di SJK (C) Su Lai di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat beberapa projek yang berjaya direalisasikan sepanjang lima tahun lalu meskipun tidak pernah dimasukkan dalam manifesto pilihan raya terdahulu.
Katanya, beliau menghormati hak setiap pihak dalam sistem demokrasi untuk memberikan sokongan kepada calon pilihan masing-masing, termasuk calon daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Mengulas cabaran politik yang bakal dihadapi, Tiang berkata setiap pilihan raya mempunyai cabarannya tersendiri dan beliau bersama pasukan sentiasa bersedia menghadapinya.
Beliau turut berharap memperoleh majoriti lebih besar berbanding kemenangan pada pilihan raya lalu yang menyaksikan beliau menang dengan kelebihan hanya 100 undi.
Menurutnya, kemenangan tipis itu menjadi pengajaran penting supaya beliau tidak mengambil mudah sokongan rakyat, sekali gus mendorongnya bekerja lebih keras sepanjang lima tahun tempoh perkhidmatan.
“Saya mahu meyakinkan pengundi bahawa keputusan mereka memberikan saya majoriti 100 undi dahulu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Saya telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, mengenai penyerahan watikah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tiang berkata beliau menerima notis bahawa majlis penyerahan watikah pencalonannya ditangguhkan kepada Khamis ini pada 10.00 pagi.
Bagaimanapun, beliau berkata masih belum mendapat pengesahan sama ada penangguhan itu turut melibatkan semua calon GPS atau hanya sesi tertentu yang dijadualkan berlangsung esok.
Oleh Tarani Lanting





