SARIKEI, 24 November: Setiap anak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama tanpa mengira latar belakang keluarga atau kemampuan kewangan ibu bapa bagi memastikan tiada generasi muda tercicir daripada usaha membina masa depan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, akses kepada pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Usaha membantu pelajar mendapatkan keperluan persekolahan perlu diteruskan bagi mengurangkan beban kewangan keluarga, khususnya dalam memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa.
“Saya percaya bahawa setiap anak berhak mendapat peluang pendidikan untuk membina masa depan yang lebih baik, tanpa mengira latar belakang keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei 2026, baru-baru ini.
Katanya, sejak 2019, beliau meneruskan inisiatif menyumbangkan beg sekolah, pakaian seragam dan kasut sekolah kepada semua pelajar sebagai sebahagian daripada komitmennya menyokong kebajikan serta pembangunan pendidikan.
“Bantuan tersebut diharap dapat meringankan tanggungan ibu bapa, selain memastikan pelajar mempunyai kelengkapan asas yang diperlukan untuk menghadiri sesi persekolahan.
“Sokongan terhadap pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada penyediaan kemudahan fizikal semata-mata, malah perlu mengambil kira keperluan pelajar serta kemampuan keluarga masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sektor pendidikan negeri.

Tambahnya, antara inisiatif penting yang diperkenalkan kerajaan negeri ialah pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak bagi memperluas peluang melanjutkan pengajian tanpa terlalu dibebani kekangan kewangan keluarga.
“Inisiatif tersebut diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk meningkatkan tahap pendidikan dan seterusnya membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan peranan besar golongan pendidik dalam membentuk keperibadian dan hala tuju kehidupan pelajar.
Katanya, tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan di dalam bilik darjah, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab membimbing, memberikan dorongan dan membentuk sahsiah generasi muda.
“Tidak dapat dinafikan bahawa di sebalik setiap kejayaan seorang insan, pasti ada seorang guru yang pernah membimbing dan memberi inspirasi kepada mereka.
“Sebab itulah jasa seorang guru sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.
Katanya, sumbangan golongan pendidik perlu terus mendapat pengiktirafan kerana kejayaan seseorang pelajar tidak dapat dipisahkan daripada kesungguhan dan pengorbanan guru sepanjang proses pembelajaran.
Beliau turut menghargai usaha pihak sekolah dalam menganjurkan Malam Apresiasi Tahunan sebagai platform memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan warga pendidikan.
“Terima kasih juga kepada semua guru atas segala jasa dan pengorbanan dalam mendidik generasi muda serta pihak penganjur atas usaha menjayakan majlis ini,” ujarnya.
Oleh Earl Anek





