SALAH satu hasil utama di Sarawak pada era Brooke adalah produk hutan. Ia pernah menjadi komoditi eksport utama sebelum munculnya penanaman komersial dan pengeluaran minyak di Sarawak.
Menariknya, hasil hutan ini terus menjadi antara komoditi eksport Sarawak selepas berakhirnya kependudukan Jepun. Malah, selepas pentadbiran Sarawak diambil alih oleh British, industri berasaskan hasil hutan masih memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam laporan British, hasil hutan ini dinamakan sebagai hasil hutan sampingan (minor forest produce). Antara hasil hutan yang utama ketika itu adalah jelutong, damar, rotan, cutch dan buah engkabang. Industri ini cuba dibangunkan semula, dan dikawal untuk mengelak eksplotasi hutan tanpa kawalan.
Pada 1946, jumlah hasil yang diperoleh daripada kutipan cukai kastam ke atas eksport hasil hutan ialah $51,033.10. Sementara itu, kutipan hasil tidak langsung oleh Jabatan Hutan, yang merangkumi royalti kayu, lesen dan denda, berjumlah $35,282.42.
Secara keseluruhannya, kedua-dua sumber kutipan tersebut menyumbang sebanyak $86,315.52 kepada hasil pendapatan Sarawak.
Pemulihan
Salah satu hasil hutan yang mula menunjukkan pemulihan yang cepat selepas tamatnya pendudukan Jepun adalah jelutong. Walaupun industri jelutong mencatatkan pemulihan pesat, perkembangannya tetap dibayangi oleh masalah kekurangan bekalan asas, khususnya bahan pembeku (coagulants) seperti asid asetik atau asid formik bagi membekukan susu getah.
Dalam hal ini The Chicle Development Company telah mempengaruhi lesen mereka untuk memulakan usaha pemulihan industri pengeluaran jelutong. Syarikat ini telah mula menoreh di hutan simpan Daro dan Bawan.

Bagaimanapun, kegiatan penorehan yang dijalankan oleh syarikat tersebut di Daro telah dihentikan. Menurut alasan yang diberikan, pemberhentian operasi itu berkait dengan proses penyusunan semula ibu pejabat syarikat yang terletak di New York.
Susulan itu, sebuah agensi pembelian baharu, iaitu Malayan Guttas Ltd., telah mengambil alih peranan dalam urusan pembelian hasil jelutong tersebut.
Syarikat ini sebelum meletusnya perang tidak menunjukkan minat kepada pasaran dari Sarawak. Ketika itu syarikat ini lebih kepada usaha mendapat hasil jelutong dari Hindia Timur (Kepulauan Indonesia).
Walaupun pemulihan berlaku ke atas industri jelutong, pihak British bimbang akan kesan eksplotasi pokok jelutong yang berkemungkinan akan memalapkan industri tersebut.
Ini kerana penggunaan teknik slaughter tapping — iaitu menoreh secara rakus dan mendalam – telah merosakkan kulit kayu dan mematikan pokok. Amalan penorehan ini yang tidak terkawal berlaku di hutan tidak terlindung.

Dalam hal ini Jabatan Hutan berpendapat bahawa usaha menguatkuasakan semula peraturan di hutan tidak terlindung sudah terlambat kerana pokok-pokok jelutong di situ telah rosak teruk.
Oleh itu mereka hanya mengalih usaha kepada menerima pakai pendekatan silvikultur (penjagaan, pembersihan, dan pembiakan semula anak pokok jelutong secara sistematik) secara besar-besaran di dalam kawasan hutan bersempadan (demarcated forests / hutan simpan kekal) bagi menjamin kelangsungan industri jelutong di Sarawak.
Kedua
Selepas jelutong, salah satu lagi hasil hutan yang menampakkan potensi untuk pulih semula selepas perang ialah damar. Damar merupakan sejenis resin semula jadi dihasilkan oleh spesies pokok tertentu.
Bahan ini lazimnya diperoleh melalui proses torehan pada kulit atau batang pokok, yang membolehkan resin tersebut mengalir keluar sebelum dikumpulkan untuk kegunaan komersial dan industri.
Oleh kerana kegunaannya yang pelbagai dari bahan untuk wangian, upacara agama kepada bahan kalis air, bahan mudah bakar untuk pencahayaan dan pembuatan cat, maka ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kepada penduduk tempatan.
Malah permintaannya selepas tamat perang juga mengalakkan yang membawa perkembangan pengeluaran damar di Sarawak.

Faktor yang membawa perkembangan pengeluaran damar ini dikaitkan dengan harga tinggi yang menarik minat penduduk tempatan mencari bahan tersebut. Tambahan daripada itu, usaha menyimpan damar ini lebih senang juga membantu perkembangan pengeluaran damar.
Salah satu damar yang dikeluarkan oleh Sarawak ketika itu datang dari pokok Shorea albida. Pada ketika laporan ini dibuat menyatakan bahawa perniagaan damar menampakkan perkembangan lebih ke hadapan berlaku antara Bahagian Kedua dan Pertama.
Ketidakstabilan
Sementara itu rotan pula menunjukkan ketidakstabilan dalam pengeluarannya. Ini kerana pemintaan ke atas rotan yang turun naik dan tidak tetap. Eksport rotan jenis rotan sega dari Sibu memasuki pasaran Australia pada 1946, hanyalah berjumlah 573 pikul.
Salah satu lagi hasil hutan yang menghadapi pemulihan adalah cutch (ekstrak tanin). Cutch merupakan bahan ekstrak tumbuhan yang kaya dengan tanin, iaitu sebatian semula jadi yang boleh memberikan rasa kelat dan mempunyai keupayaan mengikat protein.
Bahan ini juga mempunyai kegunaan sendiri dalam kehidupan seharian dan industri di dunia.
Syarikat yang mengusahakan cutch ini adalah Island Trading Company. Syarikat ini telah lama bertapak di Sarawak tetapi ia mengalami masalah selepas perang kerana kilang pemprosesan cutch mengalami kerosakan. Selalang pula menjadi pusat mencari cutch untuk diproses.
Syarikat ini juga memperbaharui kontrak bagi mendapatkan hak pengambilan kulit kayu untuk tujuan pengeluaran cutch. Di samping itu, syarikat ini turut menjalani proses penyusunan semula melibatkan aspek pemindahan kepentingan dan pengurusan.
Masalah
Salah satu lagi produk hutan yang menyumbang hasil tinggi adalah buah engkabang. Kerajaan British di Sarawak mempunyai harapan tinggi kepada buah engkabang kerana pada selepas perang tamat, hasil hutan ini menghasil buah yang banyak tetapi penuainya adalah rendah.
Galakkan juga diberi oleh Kementerian Makanan (British) dengan memperkenalkan harga tinggi menerusi ejen mereka di Singapura. Malangnya ia tidak menarik usaha memperkembangkan pengeluaran industri ini.
Pengumpulan buah engkabang ini turut menerima saingan harga tinggi yang ditawarkan untuk damar. Selain itu, kekurangan kemudahan pengangkutan perkapalan dan gudang penyimpanan yang sesuai turut menjadi masalah utama.
Pertembungan dengan musim menuai padi juga menambahkan masalah mengumpul buah engkabang.
Perkembangan pengeluaran hasil hutan ini sejurus sahaja tamat perang menunjukkan bahawa komoditi tersebut masih mendapat tempat walaupun sudah wujud pelbagai bahan penganti.
Permintaan yang tinggi terhadap sesetengah hasil hutan telah memacu kemajuan pengeluarannya, namun terdapat juga pelbagai masalah yang menghambat usaha pengumpulan hasil hutan ini secara lebih giat.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.




