JULAU, 23 November: Persaraan daripada perkhidmatan pendidikan bukan bermakna berakhirnya peranan seseorang guru dalam membangunkan masyarakat, sebaliknya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki masih boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, golongan pendidik yang telah menamatkan perkhidmatan mempunyai kelebihan dari segi pengalaman mengurus, membimbing dan membentuk generasi muda yang boleh terus dimanfaatkan dalam pelbagai bidang.
Katanya, sumbangan guru, khususnya mereka yang pernah memegang tanggungjawab sebagai guru besar, bukan sahaja terhad kepada pencapaian akademik murid, malah turut merangkumi pembentukan sahsiah dan hala tuju kehidupan seseorang.
“Jasa guru akan sentiasa dikenang oleh setiap pelajar kerana sumbangan mereka bukan sahaja dalam penyampaian ilmu, malah dalam membentuk masa depan seseorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Persaraan Guru Besar Julau, kelmarin.
Katanya, pengalaman luas golongan pendidik dalam pentadbiran sekolah, pengurusan organisasi dan hubungan dengan masyarakat merupakan aset berharga yang tidak seharusnya terhenti apabila mereka bersara.
Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan bekas guru supaya terus melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan yang bersesuaian dengan minat, kemampuan dan pengalaman masing-masing.
“Guru-guru yang telah bersara juga boleh terus terlibat dalam pelbagai aktiviti komuniti termasuk pertanian, perdagangan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain mengikut kebolehan dan minat mereka.
“Pada masa yang sama, saya menggalakkan mereka untuk terus berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran mereka dengan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, penglibatan dalam kegiatan sedemikian bukan sahaja membolehkan pesara guru kekal produktif, malah dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang aktif dari segi fizikal, mental dan sosial.
Dalam pada itu, katanya, bidang pertanian dan perniagaan antara pilihan yang boleh diterokai oleh golongan tersebut, khususnya bagi mereka yang ingin memanfaatkan masa persaraan untuk menjana pendapatan tambahan.
Katanya, selain daripada kegiatan ekonomi, bekas guru juga berpotensi memainkan peranan sebagai pembimbing dalam aktiviti komuniti melalui perkongsian pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan.
Larry turut merakamkan penghargaan kepada semua guru besar yang bersara atas dedikasi dan pengorbanan mereka dalam memastikan kelancaran pengurusan sekolah serta perkembangan pendidikan murid di Julau.
Beliau menyifatkan tugas seorang guru besar sebagai amanah besar kerana selain mengurus pentadbiran sekolah, mereka turut bertanggungjawab membimbing guru dan memastikan persekitaran pembelajaran yang baik untuk murid.
Larry turut menyumbangkan RM8,000 kepada Persatuan Guru Besar (PGBM) Julau sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap komuniti pendidikan.
Beliau berharap golongan guru yang telah bersara terus menikmati kehidupan yang sihat dan bermakna, di samping menggunakan pengalaman serta pengetahuan mereka untuk membantu masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.
Oleh Earl Anek




