MALUDAM, 22 November: Pertandingan Melastik Terbuka dan Tertutup Maludam 2026 berjaya menghimpunkan peminat sukan melastik dari pelbagai daerah di Sarawak dalam satu platform yang bukan sahaja menguji kemahiran dan ketepatan sasaran, malah menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, penganjuran pertandingan itu merupakan satu inisiatif positif dalam menyediakan ruang kepada peminat sukan melastik untuk berkumpul, bertukar pengalaman dan mengasah kemahiran masing-masing menerusi persaingan yang sihat.
Menurutnya, pertandingan berkenaan turut memperlihatkan sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan peserta dari pelbagai kawasan termasuk Kuching, Sri Aman, Betong, Sarikei, Bungin, Sibu, Samarahan dan Lundu.
“Pertandingan ini telah menghimpunkan para peminat sukan melastik dalam satu platform pertandingan yang penuh dengan kemahiran, semangat kesukanan dan persaingan yang sihat.
“Lebih membanggakan, penyertaan daripada pelbagai kawasan membuktikan sukan rekreasi seperti ini mempunyai daya tarikan tersendiri serta berpotensi menjadi medium untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat,” katanya semalam.
Mohamad Shafizan turut menegaskan bahawa aktiviti seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah, malah mampu memupuk nilai perpaduan, persahabatan dan semangat kebersamaan.
Pertandingan anjuran Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Maludam dengan kerjasama Kelab Lastik Maludam itu turut mendapat sokongan Mohamad Shafizan yang hadir sebagai tanda komitmen beliau terhadap pembangunan aktiviti komuniti dan sukan rekreasi di kawasan berkenaan.
Beliau berharap pertandingan tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai peserta bagi menjadikan Maludam sebagai antara lokasi yang aktif dalam penganjuran sukan komuniti.
Mohamad Shafizan turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur, semua peserta serta individu yang terlibat dalam memastikan Pertandingan Melastik Terbuka dan Tertutup Maludam 2026 berlangsung dengan jayanya.
Oleh Adi Safarman




