Penyalahgunaan dadah catat 376 kes, lima isu sosial jadi kebimbangan di Bahagian Betong

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Mohammad Razi Sitam merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti Bahagian Betong Tahun 2026 di Dewan Pahlawan 7, Kampung Bungin, hari ini. Foto: PK N35 Saribas

SPAOH, 22 November: Penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, jenayah siber, jenayah harta benda, kehamilan remaja serta keganasan rumah tangga dikenal pasti sebagai lima isu sosial utama di Bahagian Betong yang memerlukan perhatian dan tindakan berterusan daripada semua pihak.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, berdasarkan statistik 2026 yang dikongsikan rakan strategik dan ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS), sebanyak 376 kes penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang direkodkan, diikuti 55 kes jenayah siber, 42 kes jenayah harta benda, 42 kes kehamilan remaja serta 16 kes keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, angka berkenaan bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan cabaran sosial yang memberi kesan langsung kepada individu, keluarga dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Justeru, usaha menangani isu-isu ini memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, agensi berkaitan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat, khususnya dalam aspek pencegahan, pendidikan, intervensi serta penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Bahagian Betong Tahun 2026 di Dewan Pahlawan 7, Kampung Bungin, hari ini.

Dr Mohammad Razi berkata, Program Randau Solidariti Komuniti bukan sekadar acara menghimpunkan masyarakat, tetapi merupakan platform penting untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan komuniti, meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial serta memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan.

Katanya, menerusi sesi dialog dan interaksi bersama jabatan serta agensi berkaitan, masyarakat berpeluang mendapatkan maklumat, berkongsi pandangan dan meningkatkan kefahaman mengenai pelbagai isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Beliau berharap segala maklumat dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program itu dapat dimanfaatkan serta dikongsikan dengan ahli keluarga dan masyarakat setempat.

“Lebih penting, program sebegini turut membuka ruang kepada jabatan dan agensi untuk memahami dengan lebih dekat keperluan serta cabaran yang dihadapi masyarakat.

“Saya berharap isu dan maklum balas yang dibangkitkan sepanjang program ini diberikan perhatian serta tindakan susulan oleh agensi berkaitan supaya manfaatnya tidak terhenti setakat penyampaian maklumat, tetapi turut menyumbang kepada usaha menangani isu dan meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohammad Razi menegaskan perpaduan dan solidariti merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni, selamat dan sejahtera, khususnya di Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Menurutnya, keharmonian tersebut perlu terus dipelihara melalui amalan saling menghormati, mengambil berat serta membantu golongan yang memerlukan, selain bekerjasama menangani cabaran yang dihadapi masyarakat.

Dr Mohammad Razi turut menekankan bahawa pembangunan fizikal dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pembangunan sosial bagi memastikan masyarakat bukan sahaja menikmati kemudahan dan peluang ekonomi, malah dapat hidup dalam persekitaran yang selamat dan harmoni.

“Usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Pemimpin masyarakat dan penduduk setempat juga memainkan peranan penting dalam mengenal pasti isu, membina kesedaran serta bersama-sama mencari penyelesaian terhadap cabaran sosial,” katanya.

Dr Mohammad Razi berharap semangat solidariti dan kebersamaan yang dipupuk menerusi program berkenaan terus diamalkan oleh penduduk Kampung Bungin dan kawasan sekitarnya walaupun program tersebut telah berakhir.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) melalui MPS, Pejabat Residen Bahagian Betong, Pejabat Daerah Betong, Pejabat Daerah Kecil Spaoh serta seluruh masyarakat Kampung Bungin dan kawasan sekitar atas kerjasama menjayakan program itu.

Program berkenaan turut diteruskan dengan Malam Solidariti yang menampilkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, antaranya pertandingan Ratu Kebaya Cilik dan Warga Emas, pertandingan karaoke serta persembahan artis jemputan bagi mengeratkan hubungan antara generasi dan memeriahkan suasana komuniti.

Oleh Adi Safarman