Ular sawa batik sepanjang 1.5 meter ditemui di kedai runcit Pasar Saratok

Facebook
WhatsApp
SEEKOR ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter di kawasan almari sebuah kedai runcit di Pasar Saratok berjaya ditangkap anggota APM. Foto APM Saratok

SARATOK, 22 November: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter yang ditemui berhampiran almari sebuah kedai runcit di Pasar Saratok mencetuskan kebimbangan sebelum berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, petang tadi.

Dalam kejadian itu, kelibat ular berkenaan disedari ketika dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 31 tahun berada di lokasi sebelum orang awam menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah APM Saratok untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.42 petang sebelum menggerakkan tiga anggota ke lokasi kejadian dua minit kemudian.

Menurutnya, anggota APM tiba di lokasi pada 1.46 petang sebelum menjalankan pemeriksaan dan operasi mencari ular berkenaan di kawasan yang dikenal pasti oleh pengadu.

“Sebelum operasi dimulakan, ketua skuad terlebih dahulu memastikan semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi menjamin keselamatan sepanjang proses menangkap ular berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.5 meter berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi yang melibatkan tiga anggota APM itu selesai pada 2.01 petang tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, keadaan di lokasi kekal selamat dan terkawal selepas ular berkenaan berjaya ditangkap.

APM turut menasihati orang ramai supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri reptilia berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Oleh Adi Safarman