SRI AMAN, 22 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menzahirkan keyakinan bahawa rakyat di kawasan itu mampu membuat penilaian yang matang berdasarkan rekod khidmat dan usaha berterusan yang telah dilaksanakannya demi pembangunan Bukit Begunan.
Dalam ucapannya, Mong berkata beliau yakin pengundi di DUN Bukit Begunan mampu menilai rekod khidmat serta usaha beliau dalam memperjuangkan agenda pembangunan kawasan Bukit Begunan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di kawasan Melugu yang sentiasa bekerjasama dan berhubung rapat dengannya dalam usaha memajukan kampung masing-masing.
“Saya yakin pengundi di DUN Bukit Begunan bijak menilai rekod khidmat dan usaha yang telah kita laksanakan bersama dalam memperjuangkan agenda pembangunan kawasan ini.
“Saya juga amat menghargai sokongan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Melugu yang sentiasa bekerjasama bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada siri Program Turun Padang Bersama Penduduk Melugu Skim yang berlangsung hari ini.
Mong turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas kerjasama yang telah diberikan kepada agensi-agensi kerajaan dalam menyalurkan peruntukan serta melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut selama ini.
Menyentuh isu melobi calon pilihan raya, Mong menjelaskan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan melobi calon pilihan masing-masing dalam amalan demokrasi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya menggunakan hak tersebut secara bertanggungjawab serta menghormati pandangan orang lain.
“Dalam sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk melobi dan menyokong calon pilihan mereka.
“Namun, hak bersuara perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab dan jangan sampai disalahgunakan sehingga boleh menimbulkan isu yang bercanggah dengan undang-undang,” tegasnya.
Sementara itu, Kaunselor Kedeny Kendawang menyeru penduduk di kawasan berkenaan agar memberikan sokongan penuh dan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Bukit Begunan.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Mong Dagang bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang telah dirangka dapat diteruskan demi manfaat rakyat setempat.
Turut hadir pada program tersebut Penghulu Bangga Munap bagi bidang kuasa Dau Baruh, Penghulu Riji Gu bagi bidang kuasa Dau Atas, Penghulu Anthony Jiram bagi bidang kuasa Tanjung Bijat, tuai-tuai rumah kawasan Melugu, ahli-ahli Majlis Daerah Sri Aman serta masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman



