PETRA JAYA, 22 November: Pertindihan tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Engkilili antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu diselesaikan berlandaskan semangat setiakawan bagi memastikan perpaduan gabungan itu terus terpelihara.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen merupakan perkara biasa, namun ia boleh ditangani menerusi kepercayaan dan persefahaman.
“Memanglah saya kata tidak ada laut yang tidak bergelombang. Tetapi ia dapat diselesaikan dalam semangat setiakawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing yang membangkitkan kebimbangan akar umbi parti itu berhubung pembahagian kerusi Bawang Assan dan Engkilili menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Mengulas tuntutan PDP untuk mempertahankan lapan kerusi, Abang Johari meminta semua pihak menunggu pengumuman yang akan dibuat pada 25 November ini.
“Tunggu dahulu 25 haribulan nanti saya umumkan,” katanya.
Terdahulu, Tiong dalam ucapannya pada majlis sama menegaskan bahawa PDP mahu mempertahankan kesemua lapan kerusi yang dituntutnya, selain berharap Abang Johari dapat membantu mencari penyelesaian terhadap kebimbangan akar umbi berhubung kedua-dua kerusi berkenaan.
Tiong turut mengingatkan bahawa PDP pernah mengorbankan tiga kerusi sebelum ini demi menjaga perpaduan dan keharmonian GPS, justeru tidak mahu pengorbanan sama berulang pada PRN kali ini.
Untuk rekod, DUN Bawang Assan dan Engkilili sebelum ini merupakan kerusi tradisi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam pembahagian kerusi GPS.
Bagaimanapun, kedua-dua kerusi itu dimenangi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021 sebelum penyandangnya menyertai PDP susulan pembubaran PSB pada 2024.
Di Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh memenangi kerusi itu dengan majoriti 913 undi, menewaskan calon GPS-SUPP, Robert Lau Hui Yew.
Sementara itu, di Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa menang dengan majoriti 1,191 undi selepas menewaskan calon GPS-SUPP, Desmond Satem Sanjan.
Perkembangan itu menyebabkan kedua-dua kerusi berkenaan kini menjadi rebutan antara PDP, yang mahu mengekalkan penyandang semasa, dengan SUPP yang turut menuntut kerusi berkenaan berdasarkan statusnya sebagai kerusi tradisi parti itu dalam GPS.
Isu itu kembali menjadi perhatian menjelang PRN Sarawak ke-13 apabila Tiong menegaskan bahawa kedua-dua kerusi berkenaan tidak sepatutnya dianggap sebagai kerusi tradisi SUPP.
Oleh Shahrul Qaizat





