Semak dan imbang ditentukan rakyat, bukan bilangan wakil pembangkang – Dr Sim

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN SUPP, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini, menegaskan bahawa semak dan imbang dalam demokrasi ditentukan oleh rakyat melalui peti undi, bukannya wakil rakyat.

PETRA JAYA, 22 November: Rakyat merupakan pihak yang berhak menentukan semak dan imbang dalam sistem demokrasi melalui pilihan raya, bukannya berdasarkan keperluan memastikan parti pembangkang mempunyai bilangan kerusi tertentu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, mandat yang diberikan rakyat melalui peti undi merupakan asas utama dalam menentukan parti dan calon yang layak membentuk kerajaan serta mewakili kepentingan mereka.

Menurutnya, konsep semak dan imbang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertikaikan hasrat Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kesemua 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menegaskan bahawa kemenangan GPS dalam pilihan raya bergantung kepada sokongan pengundi dan bukannya perlu dihadkan bagi memberi ruang kepada parti lain atas alasan mewujudkan semak dan imbang.

“Jangan tengok sahaja. Apa sahaja keputusan Premier, kita akan berusaha bersungguh-sungguh. Kali ini, kita mahu menunjukkan bahawa kuasa untuk menentukan semak dan imbang terletak di tangan rakyat, bukannya wakil rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Jelasnya, GPS mahu rakyat menilai prestasi kepimpinan berdasarkan pencapaian, hasil pembangunan dan manfaat yang telah disampaikan kepada masyarakat, bukannya semata-mata berdasarkan kewujudan wakil pembangkang dalam DUN.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya memberikan sokongan kepada GPS pada 12 Disember ini bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan.

Dr Sim turut menegaskan bahawa GPS perlu berusaha memenangi kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan, sambil menyatakan kesediaan seluruh jentera parti untuk bergerak sepenuhnya sebaik sahaja calon diputuskan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kestabilan politik dan kesepaduan empat parti komponen GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), menjadi kekuatan gabungan itu dalam memastikan Sarawak dapat meneruskan agenda pembangunannya.

Menurutnya, kesatuan dalam GPS membolehkan kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada pembangunan serta memperjuangkan hak Sarawak, termasuk tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu berkaitan industri minyak dan gas yang masih melalui proses perundangan.

Dr Sim berkata, perjuangan tersebut masih belum selesai dan memerlukan kepimpinan yang berani serta sokongan rakyat bagi memastikan kepentingan Sarawak terus dipertahankan.

Untuk rekod, Dr Sim juga merupakan antara Naib Pengerusi GPS, gabungan yang ditubuhkan pada 2018 selepas empat parti tempatan Sarawak membentuk pakatan politik tersendiri.

Terdahulu, Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 11 November lalu menyatakan hasrat agar Dr Sim terus mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah pada PRN Sarawak ke-13.

Oleh Afiq Sallehi