SIMANGGANG: Kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk melahirkan masyarakat peduli sosial dalam komuniti di negara ini kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau, kehadiran masyarakat peduli sosial dalam komuniti negara ini adalah penting bagi menangani masalah dan gejala sosial yang berlaku di penempatan mereka.
“Masalah sosial yang sering kita lihat berlaku dalam sesebuah komuniti masyarakat itu adalah seperti melepak, penyalahgunaan dadah, hubungan seks luar nikah, LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender) dan banyak lagi.
“Justeru, penting untuk kita melahirkan masyarakat peduli sosial agar mereka dapat membantu kerajaan untuk mengekang masalah ini daripada menjadi lebih serius di negara ini,” ujarnya,
Harden berkata demikian ketika merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah di sini, baru-baru ini.
Selain itu, kewujudan masyarakat peduli sosial menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang berkenaan juga penting bagi melahirkan perasaan saling menghormati dalam kalangan mereka.
“Dengan adanya perasaan saling menghormati dan semangat bersatu padu ini, negara kita secara tidak langsung akan menjadi makmur dan seterusnya menyumbang kepada kepesatan proses pembangunan Malaysia pada masa akan datang,” jelasnya.
Terdahulu Program RSK KRT berkenaan dianjurkan Majlis Pembangunan Sosial (MPS), Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sri Aman.
Oleh VALENTINE NGUMBANG