“Apa kamu buat ketika berkuasa?” Abang Jo sindir bekas pengerusi Pelabuhan Bintulu

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, di BCCK , hari ini.

PETRA JAYA, 22 November: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyindir bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB), Dr John Brian Anthony yang kini merupakan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), berhubung sumbangan dan tindakannya ketika memegang jawatan itu di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, Sarawak kini mengambil alih pengurusan Pelabuhan Bintulu berdasarkan hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membolehkan aset strategik itu diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, Pelabuhan Bintulu merupakan satu-satunya pelabuhan di Sarawak yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, meskipun pelabuhan merupakan perkara di bawah Senarai Negeri.

“Pelabuhan lain semuanya di bawah negeri, tetapi Bintulu pula di bawah Persekutuan. Sedangkan Bintulu merupakan salah satu pelabuhan yang mempunyai pendapatan besar.

“Jadi kita ambil alih Bintulu menjadi Pelabuhan Sarawak mengikut undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Dalam nada menyindir, Abang Johari turut mempersoalkan sumbangan bekas pengerusi LPB itu ketika mempunyai kuasa dan kedudukan dalam institusi berkenaan, khususnya terhadap masyarakat Dayak.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan pemimpin GPS yang lain menyempurnakan gimik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, hari ini.

“Yang pengerusinya orang Sarawak tauke orang lain. Apa dia buat? Apa yang buat untuk masyarakat Dayak?

“Saya tidak pernah mahu menyimpulkan sesuatu menggunakan politik bangsa. Apa yang kamu lakukan ketika mempunyai kuasa?” katanya.

Beliau kemudian mengingatkan bahawa perjuangan untuk masyarakat Dayak tidak seharusnya terhenti pada permainan sentimen kaum, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan, tanggungjawab dan penggunaan kuasa yang dimiliki untuk membantu rakyat.

Abang Johari turut mempertahankan usaha kerajaan GPS dalam memperkasakan masyarakat Dayak, khususnya menerusi pengukuran dan pendaftaran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pemilikan tanah masyarakat Dayak direkodkan dengan jelas, sekali gus membantu mengelakkan pertikaian hak milik dalam kalangan ahli keluarga pada masa hadapan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak membezakan kaum dalam melaksanakan pembangunan, termasuk usaha melindungi hak tanah masyarakat Dayak.

“Kita menjalankan tugas demi rakyat, bukan kaum. Lebih-lebih lagi tanah NCR untuk masyarakat Dayak. Dayak, Melayu, Cina, tidak ada beza,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat