54 peserta dalami seni pembuatan Baju Ujan di Rumah Lanyau Jembu, Linsum

Facebook
WhatsApp
WANITA PBB Cawangan Bukit Saban menganjurkan bengkel pembuatan Baju Ujan di Rumah Panjang Lanyau Jembu, Linsum, Ulu Layar. Foto Douglas Uggah Embas Official

BETONG, 22 November: Bagi memastikan seni pembuatan Baju Ujan terus diwarisi dan tidak ditelan zaman menjadi antara usaha Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban menerusi penganjuran bengkel kraftangan tradisional di rumah-rumah panjang.

Diterajui ketuanya, Natasha Nasa Uggah, inisiatif itu diteruskan menerusi bengkel di Rumah Panjang Lanyau Jembu, Linsum, Ulu Layar yang disertai 54 peserta daripada Ranting Kubal Tengah dan Kubal Ulu.

Bengkel berkenaan dikendalikan tenaga pengajar, Josephine Brayon Tansang, yang membimbing peserta mempelajari teknik serta kemahiran menghasilkan Baju Ujan secara praktikal.

Pendekatan latihan secara langsung itu memberi peluang kepada golongan wanita mendalami seni pembuatan pakaian tradisional berkenaan, sekali gus memastikan ilmu dan kemahiran warisan terus dipelihara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemeliharaan warisan budaya memerlukan usaha berterusan bagi memastikan kemahiran tradisional tidak hilang ditelan perubahan zaman.

“Warisan seperti Baju Ujan perlu terus diberi perhatian. Kemahiran pembuatannya harus dipelajari dan diamalkan supaya pengetahuan yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak terputus begitu sahaja,” katanya.

Uggah yang juga Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban turut menggalakkan peserta yang mengikuti bengkel berkenaan supaya berkongsi ilmu dan kemahiran diperoleh dengan ahli keluarga serta masyarakat setempat.

“Wanita yang telah menguasai kemahiran ini boleh menjadi penyambung kepada usaha memelihara warisan kita.

“Perkongsian ilmu dalam komuniti akan membantu memastikan kemahiran pembuatan Baju Ujan terus hidup dan berkembang,” katanya.

Penganjuran bengkel di Linsum itu merupakan sebahagian daripada komitmen Wanita PBB Cawangan Bukit Saban untuk memperluas program latihan ke lebih banyak rumah panjang, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai wanita mempelajari seni kraftangan tradisional.

Usaha berterusan itu bukan sahaja membantu mengekalkan kemahiran pembuatan Baju Ujan, malah memastikan warisan budaya berkenaan terus dihargai, diamalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman