MARUDI, 22 November: Perarakan Krismas 2026 yang menghimpunkan gereja daripada pelbagai denominasi mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Marudi.
Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang berkata, kerjasama antara gereja dalam menjayakan perarakan itu menyerlahkan nilai bersama seperti kasih sayang, kedamaian, pengampunan dan persaudaraan.
“Inilah kekuatan sebenar masyarakat Marudi. Kita tidak semestinya mempunyai kepercayaan dan latar belakang yang sama untuk hidup bersama, bekerjasama dan saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perarakan Krismas 2026 di Dataran Marudi malam tadi, mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.
Rose berkata, keharmonian masyarakat Marudi perlu terus dipelihara melalui sikap saling memahami, menghormati dan menerima perbezaan.

Menurutnya, Krismas membawa makna mendalam kepada umat Kristian yang memperingati kelahiran Yesus Kristus. Beliau berharap nilai yang dibawa oleh sambutan itu diterapkan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam keluarga dan hubungan sesama anggota masyarakat.
Rose turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Gereja-Gereja Daerah Marudi selaku penganjur utama serta Majlis Daerah Marudi atas kerjasama menjayakan perarakan itu.
Katanya, penganjuran program tersebut menunjukkan bagaimana kerjasama antara masyarakat, pertubuhan dan pihak berkuasa tempatan dapat memberi manfaat kepada komuniti.
Beliau berharap kerjasama itu terus diperkukuh supaya Marudi dikenali kerana keharmonian, toleransi dan semangat kekitaan penduduknya seiring dengan pembangunan fizikal dan ekonomi daerah.
Oleh Jiku Juguong



