SARIKEI, 22 November: Kecemerlangan murid tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perkembangan fizikal, mental serta pembentukan sahsiah melalui penglibatan aktif dalam kegiatan sukan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pendidikan yang seimbang penting bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan, malah sihat, berdisiplin dan berkeyakinan tinggi.
Katanya, aktiviti sukan menyediakan ruang kepada murid untuk mengembangkan potensi diri, memupuk semangat kerjasama serta membina persaingan secara sihat sejak di bangku sekolah.
“Saya berharap murid-murid selain belajar bersungguh-sungguh, turut melibatkan diri dalam aktiviti sukan supaya mempunyai tubuh badan yang sihat dan minda yang cergas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sukan Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Man 2026, semalam.
Tambahnya, penyertaan dalam acara sukan turut memberikan pengalaman pembelajaran berbeza yang tidak semestinya diperoleh melalui pengajaran di dalam bilik darjah.

“Dalam pertandingan, murid perlu mematuhi peraturan, menghormati pihak lawan dan mengamalkan semangat persahabatan serta kesukanan,” katanya.
Jelasnya, nilai-nilai tersebut perlu diterapkan secara berterusan kerana mampu membantu membentuk keperibadian murid dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Dalam pada itu, Huang menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan sekolah dan kebajikan murid, khususnya dengan memastikan mereka mempunyai keperluan asas yang mencukupi untuk mengikuti pembelajaran.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk pakaian seragam dan kasut sekolah bagi membantu murid hadir ke sekolah dengan lebih kemas dan yakin.
Katanya, sokongan terhadap kebajikan murid merupakan sebahagian daripada usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih baik, sekali gus membantu mereka memberikan tumpuan kepada pelajaran dan aktiviti sekolah.
Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan serta usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan sektor pendidikan.
Oleh Earl Anek




