APABILA tiba hari penamaan calon, kita biasanya melihat gambar calon hadir bersama pencadang dan penyokong, diiringi rombongan penyokong parti masing-masing.
Selepas beberapa ketika, diumumkan pula nama mereka yang sah bertanding. Begitulah gambaran yang sering kita ikuti melalui laporan media.
Namun, apakah yang berlaku sepanjang urusan penamaan itu? Bagi mereka yang belum pernah terlibat, mungkin prosesnya kelihatan sekadar menyerahkan borang dan menunggu nama diumumkan.
Sebenarnya, ada beberapa urusan yang perlu difahami, terutama oleh calon yang pertama kali bertanding.
Penulisan sebelum ini telah menyentuh persediaan borang dan dokumen sebelum hari penamaan. Kali ini, kita melihat pula urusan pada hari tersebut serta perkara yang perlu diberi perhatian sebaik sahaja seseorang disahkan sebagai calon.
Antaranya ialah daftar pemilih yang menjadi rujukan calon dan ejen pilihan raya. Senarai nama ini mungkin kelihatan mudah dibaca, tetapi penggunaannya memerlukan kefahaman tentang lokaliti, daerah mengundi, pusat mengundi dan saluran.
Begitu juga dengan sempadan kawasan. Sempadan DUN, daerah pentadbiran, kawasan polis dan kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak semestinya sama, sedangkan setiap satunya melibatkan urusan yang berbeza apabila kempen bermula.
Istilah PBT ini merangkumi majlis daerah, majlis perbandaran dan pihak berkuasa bandar raya.
Pada pagi penamaan, calon perlu tiba lebih awal bersama pencadang dan penyokong. Fail dokumen, resit asal deposit, MyKad serta tag atau pas masuk yang ditetapkan perlu dibawa. Masa perjalanan hendaklah mengambil kira kesesakan dan pemeriksaan keselamatan, bukan sekadar jarak dari rumah ke pusat penamaan.
Tidak semua yang mengiringi calon dibenarkan masuk ke ruang penamaan. Pun begitu, calon, pencadang dan penyokong hanya akan dibenarkan masuk apabila ada tag atau pas masuk yang diambil sehari lebih awal, manakala ejen pilihan raya tidak secara automatik berhak masuk hanya kerana pelantikannya sebagai ejen.
Oleh itu, urusan membawa dokumen perlu diselaraskan supaya fail penting tidak tertinggal pada seseorang yang berada di luar.
Penyerahan kertas penamaan
Tempoh jam 9.00 hingga 10.00 pagi ialah waktu penyerahan kertas penamaan. Ini tidak bermaksud keseluruhan urusan mesti selesai dalam masa sejam. Pengesahan dan urusan susulan boleh berlanjutan selepas waktu penyerahan ditutup.
Sepanjang tempoh tersebut, dokumen yang diserahkan diperiksa. Antaranya ialah butiran calon, pencadang dan penyokong, tandatangan, akuan berkanun serta bukti pembayaran deposit. Calon perlu memberikan perhatian apabila pegawai meminta penjelasan atau menunjukkan sesuatu yang perlu diperbetulkan.
Peraturan membenarkan pembetulan tertentu dibuat di hadapan Pegawai Pengurus. Namun, peluang ini bukan alasan untuk membawa borang yang belum lengkap. Semakan awal tetap penting kerana masalah kelayakan atau kegagalan mematuhi tatacara penyerahan tidak semestinya boleh diselesaikan melalui pembetulan tulisan.
Selepas pencalonan ditentukan, Pegawai Pengurus mengisytiharkan sama ada pertandingan akan berlangsung. Jika hanya seorang calon sah dinamakan, calon itu dipilih tanpa pertandingan. Jika terdapat lebih daripada seorang, pengundian akan diadakan.
Susunan nama pada kertas undi pula ditentukan melalui cabutan undi. Calon yang paling awal menyerahkan borang tidak semestinya mendapat kedudukan pertama. Urusan simbol turut dibuat, termasuk penetapan simbol kepada calon Bebas. Selepas jam 10.00 pagi, pencalonan tidak boleh ditarik balik.
Calon bebas akan memilih simbol daripada senarai yang diluluskan oleh SPR pada hari penamaan calon. Jumlah simbol yang boleh dipilih lebih kurang 28, jika lebih daripada seorang calon dalam kawasan yang sama memilih simbol serupa, cabutan undi akan dibuat untuk menentukan siapa yang menggunakannya.
Sebelum meninggalkan pusat penamaan, calon dan ejennya perlu mengetahui urusan susulan yang ditetapkan. Ini termasuk penerimaan dokumen, taklimat berkaitan kempen dan cara menghubungi pegawai berkenaan.
Jangan sampai maklumat penting terlepas kerana masing-masing menyangka orang lain sudah mencatatnya.
Ejen pilihan raya juga perlu menyelaraskan penerimaan Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi kawasan yang ditandingi. Masa, tempat dan bentuk pembekalannya hendaklah disahkan dengan urus setia. Apabila diterima, periksa nama DUN dan kelengkapannya serta pastikan daftar itu ialah versi yang digunakan bagi pilihan raya berkenaan.
Di sinilah beberapa istilah mula menjadi penting. Daftar pemilih bukan sekadar senarai panjang nama penduduk. Susunannya berkaitan dengan kawasan pendaftaran dan tempat seseorang akan mengundi.
Lokaliti ialah komponen kecil dalam bahagian pilihan raya, seperti kampung atau taman perumahan yang menjadi asas penempatan alamat pemilih. Daerah mengundi pula terdiri daripada satu atau beberapa lokaliti.
Perlu tahu lokasi tepat
Walaupun menggunakan perkataan ‘daerah’, daerah mengundi bukan daerah pentadbiran yang diuruskan oleh pejabat daerah.
Pusat mengundi ialah premis yang digunakan untuk pengundian, misalnya sekolah atau dewan. Saluran pula ialah tempat mengundi yang disediakan di dalam pusat tersebut, seperti bilik darjah atau ruang khas. Sebuah sekolah boleh menjadi satu pusat mengundi yang mempunyai beberapa saluran.
Sebagai contoh, seorang pemilih berdaftar di sebuah kampung yang termasuk dalam Daerah Mengundi A. Pusat mengundinya ialah sekolah berdekatan, tetapi dia ditempatkan di Saluran 3.
Mengetahui nama kampung sahaja belum mencukupi untuk menunjukkan bilik tempat dia perlu mengundi. Maklumat pusat, saluran dan nombor bilangan boleh disemak melalui https://mysprsemak.spr.gov.my/.
Bagi calon dan ejen, kefahaman ini membantu mereka membaca daftar dengan betul serta memahami keperluan petugas pengundian. Bilangan pusat mengundi tidak sama dengan bilangan saluran.
Jika sebuah pusat mempunyai beberapa saluran, urusan ejen tempat mengundi dan ejen mengira perlu mengambil kira setiap saluran mengikut peraturan pelantikan.
Sempadan DUN pula menentukan kawasan pilihan raya yang ditandingi. Calon perlu mengetahui kampung, rumah panjang dan kawasan perumahan yang termasuk di dalamnya.
Gunakan peta rasmi kerana nama daerah, alamat pos atau laluan jalan raya sahaja tidak semestinya menunjukkan sempadan DUN dengan tepat.
Di Sarawak, memahami kawasan juga melibatkan keadaan perjalanan. Penempatan yang kelihatan dekat pada peta mungkin memerlukan perjalanan melalui jalan yang berbeza atau menggunakan pengangkutan sungai.
Oleh itu, pengetahuan orang tempatan membantu menjelaskan keadaan yang tidak dapat difahami hanya dengan melihat peta.
Namun, tidak semua pemilih berada di alamat pendaftarannya setiap hari. Ada yang bekerja atau belajar di luar kawasan, sedangkan namanya masih terdapat dalam daftar bagi DUN tersebut.
Kenal pasti pemilih
Sebaliknya, seseorang yang tinggal di kawasan itu belum tentu berdaftar sebagai pemilih di situ.
Orang tempatan yang mengenali keluarga berkenaan boleh membantu menyampaikan permintaan untuk berhubung. Maklumat hubungan perlu diperoleh secara wajar dan dengan persetujuan.
Bezakan alamat dalam daftar dengan tempat tinggal semasa supaya maklumat yang belum disahkan tidak dianggap tepat.
Selain sempadan DUN, kenal pasti daerah pentadbiran, kawasan tanggungjawab polis dan kawasan pentadbiran PBT. Ketiga-tiganya mempunyai fungsi tersendiri.
Pejabat daerah mengurus hal pentadbiran tertentu, polis mengendalikan urusan keselamatan dan permit berkaitan, manakala PBT mempunyai bidang kuasa terhadap perkara seperti pemasangan bahan kempen.
Sebagai contoh, apabila hendak mengadakan ceramah terbuka, calon atau ejennya perlu mendapatkan permit polis dan mematuhi syarat yang dikenakan.
Kebenaran pemilik dewan sahaja tidak menggantikan permit tersebut. Begitu juga, permit polis tidak dengan sendirinya memberikan hak menggunakan premis tanpa persetujuan pengurusnya.
Sahkan daerah polis yang menjaga lokasi program dan saluran permohonannya. Jika kawasan DUN melibatkan lebih daripada satu daerah polis, dapatkan penjelasan tentang penyelarasan yang digunakan.
Jangan terus menganggap semua aktiviti memerlukan permohonan berasingan di setiap daerah kerana kaedahnya boleh berbeza mengikut jenis aktiviti dan arahan semasa.
Sebagai rujukan, PDRM pernah menetapkan bagi PRU ke-15 bahawa permohonan permit walkabout untuk kawasan yang melibatkan beberapa daerah polis boleh dikemukakan kepada salah satu IPD berkaitan.
Ketetapan itu tidak patut dianggap terpakai secara automatik bagi pilihan raya lain, calon perlu mendapatkan arahan untuk pilihan raya yang sedang disertainya.
Permit
Urusan bahan kempen juga memerlukan perhatian. Sebelum menggantung bendera, poster atau kain rentang, semak PBT yang mentadbir lokasi tersebut. Ketahui tempat pemasangan yang dibenarkan, keperluan permit dan bayaran yang ditetapkan.
Jangan keliru antara deposit yang dibayar kepada SPR dengan bayaran kepada PBT. Bagi calon DUN, RM5,000 merupakan deposit pilihan raya manakala RM3,000 ialah deposit bahan kempen yang perlu dibayar kepada SPR.
Selain itu, sesetengah PBT turut mengenakan deposit atau bayaran permit bagi pemasangan bahan kempen dalam kawasan di bawah bidang kuasa mereka. Bayaran tersebut melibatkan pihak yang berbeza dan perlu diuruskan secara berasingan.
Kadar deposit dan bayaran permit bergantung pada ketetapan PBT berkenaan, ada serendah RM50 dan ada yang boleh mencecah ribuan ringgit.
Oleh itu, calon atau ejennya perlu mendapatkan kadar serta syarat yang terpakai bagi lokasi pemasangan, terutama jika kawasan DUN melibatkan lebih daripada satu PBT.
Simpan resit mengikut agensi dan catat syarat pemulangan deposit. Sebelum membuat pemasangan, dapatkan maklumat tentang tempoh menurunkan bahan serta cara mendapatkan pengesahan selepas kerja pembersihan selesai.
Jangan menganggap semua bayaran akan dipulangkan atau menggunakan syarat yang sama.
Calon dan ejen boleh menyediakan satu senarai rujukan ringkas yang mengandungi nama pegawai, nombor telefon, bidang urusan dan status permohonan.
Dengan itu, pertanyaan tentang daftar pemilih dirujuk kepada pihak yang betul, manakala permit ceramah dan pemasangan bahan kempen tidak bercampur urusannya.
Pengumuman nama calon menandakan urusan penamaan telah dilalui. Selepas itu, kefahaman tentang daftar pemilih, kawasan dan pihak berkuasa akan banyak menentukan kelancaran urusan harian.
Perkara inilah yang kurang kelihatan dalam gambar rombongan penamaan calon, tetapi perlu difahami oleh setiap orang yang mahu bertanding.
Oleh Arif Salim.





