BINTULU, 21 November: Keberanian untuk mencuba dan tidak takut melakukan kesilapan merupakan langkah penting dalam meningkatkan kemahiran pengucapan awam, khususnya dalam membina keyakinan ketika berkomunikasi di hadapan khalayak.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kemahiran berucap bukan sesuatu yang dapat dikuasai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan latihan berterusan, kesediaan menerima teguran serta keberanian memperbaiki kelemahan diri.

Menurutnya, perasaan gementar ketika berucap merupakan perkara biasa, malah individu yang sudah berpengalaman dalam pengucapan awam juga tidak terkecuali daripada berdepan perasaan sedemikian.
Justeru, beliau menggalakkan peserta supaya tidak menjadikan rasa takut sebagai penghalang untuk tampil menyuarakan pandangan dan berkongsi idea.
“Jangan cuba menjadi seorang penyampai yang sempurna hari ini. Sebaliknya, berusahalah menjadi penyampai yang lebih baik berbanding semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel ‘Speak To Lead’ 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Pengucapan Awam Bintulu, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Kelab Rotary Bintulu, hari ini.
Mengulas lanjut, Johnny Pang berkata kemahiran komunikasi yang baik bukan sahaja penting bagi ahli politik atau pemimpin organisasi, malah menjadi kelebihan kepada setiap individu dalam kehidupan seharian.
Katanya, kebolehan menyampaikan idea dengan jelas amat diperlukan dalam pelbagai situasi termasuk ketika menghadiri temu duga pekerjaan, membuat pembentangan, menyertai perbincangan serta meyakinkan orang lain terhadap sesuatu cadangan.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar bergantung kepada kebolehan seseorang bercakap dengan lantang atau panjang, tetapi turut memerlukan keupayaan mendengar, memahami pandangan berbeza dan menyatukan orang lain ke arah matlamat bersama.
Menurutnya, dalam persekitaran komunikasi yang semakin berkembang menerusi media sosial dan pelbagai platform digital, keupayaan menyampaikan mesej secara jelas serta berkesan semakin penting.
Pada masa sama, beliau menyifatkan penganjuran bengkel seumpama itu sebagai satu bentuk pelaburan dalam pembangunan modal insan kerana dapat membantu golongan muda, golongan profesional dan masyarakat meningkatkan keyakinan serta keupayaan berkomunikasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bintulu Speakers Club, UPMS dan Rotary Club of Bintulu atas inisiatif menganjurkan bengkel berkenaan.
Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya bengkel itu dengan mengambil bahagian secara aktif, berani mengemukakan soalan dan terbuka menerima pandangan bagi memperkukuh kemahiran komunikasi masing-masing.
Oleh Faizah Muzidi




