Petani luar bandar perlu kuasai pemasaran, bukan sekadar pengeluaran

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Stephen Rundi Utom berucap pada majlis penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) 2026 di Rumah Mahmud Perit, Sungai Gusi, Kelabat Pandan, Sebauh, hari ini.

BINTULU, 21 November: Petani di kawasan luar bandar perlu menguasai aspek pemasaran dan pengedaran produk bagi memastikan hasil pertanian yang diusahakan mampu memberikan pulangan ekonomi lebih tinggi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, cabaran utama masyarakat luar bandar bukan sekadar mendapatkan tanah atau mengusahakan tanaman, tetapi memastikan hasil yang dikeluarkan mempunyai pasaran dan dapat dijual kepada pengguna.

Menurutnya, pendekatan yang hanya menumpukan kepada pengeluaran perlu diubah dengan memberi perhatian kepada keseluruhan rantaian perniagaan termasuk pemprosesan, pemasaran dan pengangkutan.

DATO Sri Stephen Rundi Utom dan tetamu jemputan lain merakam gambar kenangan bersama para peserta pada majlis penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) 2026 di Rumah Mahmud Perit, Sungai Gusi, Kelabat Pandan, Sebauh, hari ini.

“Orang mahu bekerja, tanah pun tiada masalah kerana mereka ada tanah. Masalahnya, selepas mereka bekerja dan mengeluarkan hasil, bagaimana hendak menjualnya?

“Kita bukan sahaja perlu mengajar mereka mengeluarkan hasil, tetapi juga membawa mereka ke peringkat hiliran supaya dapat memberikan nilai tambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) 2026 di Rumah Mahmud Perit, Sungai Gusi, Kelabat Pandan, Sebauh di sini, hari ini.

Kata Rundi lagi, hasil pertanian dan perikanan tempatan seperti dabai, durian dan ikan berpotensi dipelbagaikan kepada produk hiliran bagi meningkatkan nilai komersial serta membuka peluang perniagaan baharu kepada penduduk rumah panjang.

“Dabai apa mahu buat, durian apa mahu buat, aiskrim dan sebagainya. Ikan macam mana mahu diproses, semua ini boleh menjadi sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu memerlukan perubahan model perniagaan, penggunaan teknologi dan kaedah baharu, selain sokongan latihan serta pembiayaan bagi membolehkan masyarakat luar bandar mengembangkan kegiatan pertanian.

Jabatan Pertanian akan menyediakan latihan, manakala agensi kerajaan berkaitan turut membantu dari segi kewangan melalui kemudahan geran dan pinjaman.

Rundi berkata, penglibatan golongan muda yang mempunyai pengetahuan, mudah dilatih dan bertenaga juga penting bagi membawa perubahan kepada sektor pertanian serta mempercepat pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar.

Beliau turut menekankan kepentingan tindakan susulan selepas program jangkauan komuniti dilaksanakan bagi memastikan penduduk bukan sahaja menerima maklumat, tetapi dibimbing untuk membangunkan model perniagaan yang sesuai dengan sumber dan keupayaan masing-masing.

“Saya setuju AgriCOP ini harus dibawa ke rumah panjang. Tetapi apa yang saya mahu ingatkan, bukan hanya dengar sekali kemudian lupa terus. Perlu ada tindakan susulan,” ujarnya.

Oleh Carolyne Utih

Lau santuni 13 keluarga di Paradom

SIBU, 21 November: Keprihatinan terhadap kebajikan jiran dan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan mencerminkan semangat perpaduan serta sikap saling mengambil