BINTANGOR, 21 November: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong akan mengemukakan nombor telefon yang digunakan untuk mempromosikan pinjaman wang tidak berlesen kepada syarikat telekomunikasi (telco) bagi tujuan sekatan, sebagai langkah membanteras kegiatan tersebut daripada terus menjerat masyarakat.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha polis menangani penyebaran iklan pinjaman wang tidak berlesen yang berpotensi mendedahkan orang ramai kepada risiko penipuan kewangan.
“Kita akan menghantar nombor-nombor pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen tersebut ke telco bagi membuat sekatan,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Meradong melaksanakan Op Vulture pada kelmarin.
Dalam operasi tersebut, sebanyak sembilan iklan yang mempromosikan tawaran pinjaman wang menerusi pelbagai nombor telefon berjaya diturunkan daripada tiang lampu dan tiang isyarat di sekitar bandar.
Katanya, tindakan menurunkan bahan promosi tersebut merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh dengan tawaran pinjaman yang meragukan.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pinjaman yang diiklankan di tempat awam, media sosial atau aplikasi pesanan.
“Sebelum membuat sebarang urusan pinjaman, pastikan syarikat atau institusi kewangan tersebut adalah sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Oleh Earl Anek




